- Iklan -
Berita

‘Tanya ketua hakim sama ada saya campur tangan kes Zahid’, kata Anwar

Katanya, beliau tidak pernah meminta kes ditarik balik atau mengurangkan bukti-bukti pendakwaan Zahid.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, 14 Februari. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, 14 Februari. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan tiada campur tangan daripadanya berhubung kes mahkamah timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar berkata, beliau tidak pernah meminta kes ditarik balik atau mengurangkan bukti-bukti pendakwaan Zahid.

"Kes masih di mahkamah, saya tidak campur. Boleh tanya ketua hakim negara dan peguam negara, bila saya campur?"

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu tahap keseriusan kerajaan dalam menangani isu tatakelola terutamanya membabitkan kapal tempur pesisir (LCS).

Menurut Fadhli, kerajaan dilihat terlalu fokus terhadap isu yang membabitkan pembangkang semata-mata.

Anwar berkata, siasatan berhubung isu LCS mesti diteruskan kerana tindakan sebelum ini dirasakan tidak cukup.

Dalam pada itu, Anwar berkata tidak timbul soal penganiayaan kepada musuh politik sekiranya terdapat bukti mencukupi.

"Jangan hukum saya zalim dan campur tangan.

“Adakah saudara yakin ada bukti Anwar campur tangan untuk dakwa sesiapa?"

Tanpa menamakan sesiapa, Anwar dipercayai merujuk kepada kenyataan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin yang menyatakan pendakwaan terhadapnya ialah satu bentuk pemangsaan politik.

Muhyiddin didakwa atas enam pertuduhan salah guna kuasa dan penggubahan wang haram membabitkan projek JanaWibawa dan pengecualian cukai untuk Yayasan Albukhary.