- Iklan -
Berita

Setiausaha politik menteri kewangan buat laporan polis berhubung kenyataan Muhyiddin

Laporan itu dibuat berhubung kenyataan Muhyiddin Yassin mengenai penganiayaan yang dirancang terhadapnya melalui penggunaan agensi penguatkuasaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Politik kepada menteri kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim di ibu pejabat polis Putrajaya, 13 Mac. Gambar: Bernama
Setiausaha Politik kepada menteri kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim di ibu pejabat polis Putrajaya, 13 Mac. Gambar: Bernama

Setiausaha Politik kepada menteri kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim semalam membuat laporan polis terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, berhubung kenyataan mengenai perancangan pendakwaan terhadapnya serta campur tangan pihak atasan menggunakan agensi penguat kuasa bagi mencapai tujuan politik.

Bercakap kepada media selepas membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini hari ini, Muhammad Kamil berkata laporan berkenaan dibuat selepas mendapati kenyataan Muhyiddin bersifat fitnah yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Anwar, perdana menteri menyatakan bahawa kerajaan hari ini yang dipimpinnya tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan atau tindakan yang diputuskan pihak berkuasa.

Muhammad Kamil berkata SPRM berhak melakukan siasatan terhadap mana-mana individu selaras dengan status agensi itu sebagai sebuah badan bebas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan pihaknya akan menjalankan siasatan. 

Pada 10 Mac, Muhyiddin dilaporkan menyifatkan pendakwaan ke atas dirinya adalah suatu bentuk pemangsaan politik yang terancang dengan menggunakan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik.

Pada 10 Mac itu, bekas Perdana Menteri itu dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan berkaitan wang dalam akaun Bersatu.

Beliau mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sebagai perdana menteri Malaysia dan presiden Bersatu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan sebagai Presiden Bersatu telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta.

Hari ini, Muhyiddin didakwa atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta, dan beliau mengaku tidak bersalah.