- Iklan -
Berita

Adakah kerajaan PH-BN masih perlukan pengaruh, populariti Najib?

Penganalisis berpandangan kehadiran Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan menteri sudah cukup untuk mengekalkan kuasa dan kestabilan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim itu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak ketika berucap semasa Debat Perdana antara beliau dan ketua pembangkang ketika itu Anwar Ibrahim di Dewan Tunku Abdul Rahman di Matic pada 12 Mei tahun lalu.
Bekas perdana menteri Najib Razak ketika berucap semasa Debat Perdana antara beliau dan ketua pembangkang ketika itu Anwar Ibrahim di Dewan Tunku Abdul Rahman di Matic pada 12 Mei tahun lalu.

Penganalisis politik berkata kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak memerlukan pengaruh dan populariti Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara selepas disabitkan atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melihat Anwar sudah cukup dengan kehadiran Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan menteri dalam mengekalkan kuasa dan kestabilan kerajaannya.

“Anwar sudah cukup dengan Zahid,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, buat masa ini pemikiran pemimpin utama Umno itu dilihat tidak sebulu dengan PAS dan Bersatu menjadikan ianya sudah cukup baik untuk pentadbiran Anwar.

Tidak lama selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan siri pertuduhan kes-kes mahkamah yang melingkari kehidupan harian Najib.

Ketika itu ratusan penyokong bekas perdana menteri itu memenuhi perkarangan kompleks mahkamah di Kuala Lumpur sebagai tanda sokongan sewaktu beliau berdepan puluhan kes mahkamah.

Mereka datang dari pelbagai tempat termasuk dari Pekan, Pahang.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga sering kali menerima amaran daripada pihak polis supaya tidak membuat gangguan dan kekecohan dalam kawasan mahkamah.

Sama sakitnya betis Najib naik turun tangga mahkamah, sama naik juga populariti beliau yang mencetuskan fenomena “Bossku” sehingga dikatakan menjadi sebab utama Barisan Nasional (BN) boleh menang hatrik dalam beberapa episod pilihan raya kecil (PRK) pada 2018 dan 2019.

Beliau dilihat sangat aktif “berdampingan” dengan kumpulan anak muda terutamanya mereka yang meminati sukan permotoran.

Ketika itu, di masa sahaja Najib pergi beliau akan sampai dengan “geng” motornya.

Di situ juga beliau membuat perjumpaan dengan orang ramai dan semakin dikenali dengan slogan “Bossku” yang menjadi jenama barunya selepas BN kalah dalam pilihan raya.

Zahid turut mengiktiraf fenomena “Bossku” dalam persidangan agung tahunan parti itu kerana menganggap ianya menjadi faktor utama kebangkitan sokongan akar umbi.

Empat tahun selepas itu, Najib dihantar ke penjara dan bergelar seorang banduan.

Populariti Najib kemudiannya semakin pudar.

Selepas dihantar ke penjara Najib masih berulang alik ke mahkamah bagi kes perbicaraan 1MDB.

Tiada lagi kelihatan “geng” motornya hadir memberi sokongan, cuma tinggal beberapa orang penyokong yang setia.

Kini selepas penubuhan kerajaan campuran, tiada juga kedengaran suara-suara pemimpin Umno yang menggesa campur tangan kerajaan dalam semakan sabitan kes SRC di mahkamah yang masih belum diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Nasib dan perjalanan kerjaya politiknya dilihat semakin sepi sedangkan kembalinya BN dalam kerajaan sepatutnya menjadi berita baik dan membuka lebaran baru dalam hidup bekas perdana menteri itu. 

Penganalisis politik Oh Ei Sun berkata senario dan sokongan politik kini benar-benar cepat berubah dalam sekelip mata.

Menurut Oh, ini kerana ianya bergantung kepada keadaan demografi dan sosiopolitik semasa.

Pemerhatiannya percaya, sokongan terhadap fenomena masih wujud dan Umno perlu bijak menguasai sokongan itu kepada pelbagai bentuk dan saluran.

“Umno mesti cabangkan apa-apa sahaja bentuk sokongan yang diperolehnya,” kata Oh.

Pada 2020, MalaysiaNow mendedahkan Zahid dan Najib mengutus surat yang menyatakan sokongan terhadap Anwar sebagai perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Najib kini berada dalam usaha terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC.

Beliau yang sedang menghuni Penjara Kajang turut memohon hukuman ke atasnya itu ditangguhkan sementara menunggu pendengaran permohonan semakan berkenaan.

Mazlan berkata ianya sukar untuk diramal.

Ini kerana situasi politik masa kini katanya tidak lagi boleh dianalisis secara “hitam putih” tetapi memerlukan pandangan yang lebih mendalam.

Ini terutamanya selepas pembentukan kerajaan baru yang menyaksikan penglibatan bersama seteru politik DAP-Umno dalam satu kerajaan yang sama.

“Kalau kita nak analisis politik itu dengan ‘konsep apa’, ‘sebab dan kenapa’.

“Tak boleh dah, kena pergi lebih jauh sikit,” katanya.