- Iklan -
Berita

Muhyiddin sifatkan pendakwaan sebagai penganiayaan politik terancang

Bekas perdana menteri itu berkata beliau akan melawan mereka dengan tenang di mahkamah.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin berucap pada sidang media selepas menghadiri pendakwaan berkaitan projek JanaWibawa dan pengubahan wang haram di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 Mac.
Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin berucap pada sidang media selepas menghadiri pendakwaan berkaitan projek JanaWibawa dan pengubahan wang haram di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 Mac.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengecam pertuduhan terpilih yang dikenakan terhadapnya menyifatkan ia sebagai satu penganiayaan oleh musuh politik yang rakus, dengan berkata akan melawan dengan tenang di mahkamah kerana yakin tidak bersalah.

“Saya telah berkecimpung dalam politik selama 50 tahun. Sepanjang tempoh itu, tidak ada apa-apa kesalahan yang saya lakukan. Malah saya sentiasa akur kepada peraturan dan undang-undang. Saya tidak melanggar peraturan dan undang-undang dengan sewenang-wenangnya. 

“Saya terima pertuduhan ke atas saya ini dengan sabar. Saya tahu dalam dunia politik, ramai musuh yang ingin menghancurkan saya, keluarga saya dan parti saya. Lebih-lebih lagi apabila saya berhadapan dengan musuh politik yang rakus,” katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Muhyiddin yang menerajui kerajaan ketika kemuncak pandemik Covid-19, sekali lagi menafikan sebarang salah laku yang dikaitkan dengan program JanaWibawa bagi membantu kontraktor Bumiputera, serta pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary, sebuah yayasan kebajikan milik taikun Syed Mokhtar Albukhary.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana Jabatan Peguam Negara mengumumkan pertuduhan terhadapnya walaupun sebelum keterangannya diambil semalam.

“Saya dapati keputusan untuk mendakwa saya sebenarnya dibuat lebih awal oleh pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum siasatan dilengkapkan.

“Mereka hanya menggunakan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka. Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang. ‘It is an organized political persecution’,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin didakwa atas enam pertuduhan berkaitan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dengan pertuduhan ketujuh dibacakan di Mahkamah Shah Alam.

Kes akan dibicarakan pada 26 Mei depan.

Beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika didapati bersalah.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM2 juta dan diarah menyerahkan pasportnya.

Muhyiddin berkata siasatan mendapati beliau tidak menerima rasuah seperti yang didakwa musuhnya.

“Ini berbeza sekali dengan fitnah yang dilemparkan ke atas saya kononnya saya menyeleweng RM600 bilion wang pakej rangsangan ekonomi semasa pandemik Covid-19.

“Kini terbukti tuduhan itu adalah satu fitnah jahat yang direka semata-mata untuk mencemarkan imej saya, keluarga saya dan parti saya.”

Muhyiddin turut menolak dakwaan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bahawa akan wujud "kluster mahkamah" baru dalam PN, frasa yang digunakan untuk merujuk kepada presiden Umno dan pemimpin parti lain yang dituduh rasuah.

“Dia ingin menyamakan saya dengan dirinya. Tentu sekali berbeza. 

“Dia dituduh menggunakan wang yayasan untuk kegunaan diri sendiri. Sedangkan saya, tidak ada satu sen pun wang yang masuk ke poket saya sendiri,” katanya, merujuk kepada pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.