- Iklan -
Berita

SPRM tahan Muhyiddin

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan pengerusi Perikatan Nasional itu pada jam 1 petang selepas beliau hadir untuk disoal siasat.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin dikawal ketat setibanya di perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memberi keterangan berhubung projek JanaWibawa di Putrajaya, 9 Mac.
Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin dikawal ketat setibanya di perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memberi keterangan berhubung projek JanaWibawa di Putrajaya, 9 Mac.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan menahan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, yang dikatakan akan didakwa mengikut akta pencegahan rasuah dan pengubahan wang haram. 

SPRM dalam satu kenyataan, berkata pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu ditahan pada jam 1 petang selepas hadir untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek JanaWibawa, program pasca Covid bagi membantu kontraktor Bumiputera.

“SPRM juga mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Muhyiddin di Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 Mac 2023,” kata SPRM.

Menurut SPRM, Muhyiddin bakal menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor serta seorang lagi pemimpin parti itu ditahan dan didakwa SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dikaitkan dengan projek yang sama.

SPRM turut membekukan akaun bank Bersatu sehinggakan parti itu tidak dapat membayar operasi hariannya.

Bagaimanapun, parti itu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SPRM membekukan akaun banknya bagi tujuan siasatan.

Muhyiddin, yang turut disoal siasat bulan lepas berhubung projek yang sama menafikan tuduhan itu, menggelarnya sebagai dendam politik menjelang pilihan raya di enam negeri yang perlu diadakan tahun ini.