- Iklan -
Berita

Penyokong berkumpul di SPRM, kecam tindakan terbaru terhadap Muhyiddin

Ramai penyokong menganggap ia sebagai sebahagian daripada usaha pentadbiran Anwar Ibrahim untuk melumpuhkan PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tahun ini.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin tiba untuk disoal siasat di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin tiba untuk disoal siasat di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) dan ratusan penyokong berkumpul di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, ketika pengerusi gabungan itu Muhyiddin Yassin tiba di tengah-tengah spekulasi penahanannya, hari ini.

Orang ramai menyambut Muhyiddin ketika beliau tiba untuk disoal siasat, dengan rakan gabungan PAS menggerakkan sokongan dari seluruh negara untuk membantah apa yang dikatakan sebagai sebahagian daripada usaha pentadbiran Anwar Ibrahim untuk melumpuhkan PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tahun ini.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man antara pemimpin PN yang hadir di luar pejabat SPRM berkata dakwaan itu adalah sebahagian daripada pendakwaan terpilih oleh pihak berkuasa.

Tuan Ibrahim berkata kerajaan juga akan mengelak daripada masalah yang dihadapi oleh Pakatan Harapan (PH) susulan keputusan Pendaftar Pertubuhan berhubung tindakan Umno untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertingginya.

“Saya fikir ini sebahagian daripada usaha untuk menutup kepada isu yang sebenar dan kita yakin bahawa tuduhan ini adalah tuduhan yang terpilih dan kita doa mudah-mudahan Muhyiddin akan selamat dan dipelihara oleh Allah,” kata Tuan Ibrahim kepada pemberita, sambil menambah PAS sudah menyusun beberapa siri program hari ini untuk mempertahankan pengerusi gabungan itu.

Sementara itu,  Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengecam tindakan terbaru terhadap presiden partinya itu.

“Kami mempunyai sokongan tertinggi orang Melayu, jadi mereka cuba bunuh kami,” katanya.

Sementara Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata perhimpunan diadakan pada hari ini untuk menunjukkan Muhyiddin mempunyai sokongan yang besar daripada rakyat.

“Muhyiddin mempunyai sokongan yang besar bukan saja di sini tapi di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Mohamed Azmin Ali berkata hari ini menandakan kepada permulaan gerakan massa. 

“Ada usaha yang terancang untuk melumpuhkan kebangkitan rakyat melalui Perikatan Nasional,” katanya.