- Iklan -
Berita

Menteri nafi wujud campur tangan pelantikan pegawai tertinggi dalam perkhidmatan awam

Armizan Mohd Ali berkata proses pertukaran dan pusingan adalah selari dengan undang-undang berkait perkhidmatan awam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Penjawat awam membawa makanan yang dibeli semasa rehat tengah hari di Presint 4.
Penjawat awam membawa makanan yang dibeli semasa rehat tengah hari di Presint 4.

Proses pertukaran dan pusingan kerja penjawat awam dilaksanakan berpandukan undang-undang berkaitan perkhidmatan awam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Armizan Mohd Ali.

Menempelak dakwaan kononnya wujud campur tangan terhadap pertukaran penjawat awam dalam pentadbiran kerajaan, beliau berkata proses pertukaran penjawat awam adalah selari dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat Dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 dan Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.

Beliau juga memaklumkan pertukaran penjawat awam adalah normal dan ia turut berlaku dalam pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Untuk pertukaran dan pusingan kerja pangkat Jusa C dan ke atas, semasa pentadbiran perdana menteri (PM) ketujuh (Dr Mahathir Mohamad), berlaku 128 pertukaran, PM kelapan (Muhyiddin Yassin) adalah 104, PM kesembilan (Ismail Sabri Yaakob) 92, dan kerajaan PM sekarang (Anwar Ibrahim) setakat 28 Februari adalah 62.

“Jadi tidak betul persepsi itu (pertukaran penjawat awam) hanya bersandarkan kepada pentadbiran kali ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat, semalam.

Sementara itu, Armizan berkata kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa mengkaji serta menyemak saraan bagi penjawat awam dan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan sejak 2002 dan melalui beberapa penambahbaikan.

Perdana menteri juga katanya telah menyatakan komitmen dan kesediaan untuk mengkaji semula kadar gaji dan upah penjawat awam apabila kedudukan kewangan negara bertambah baik dan selain defisit kewangan negara dapat dikurangkan.

“Sebarang pemberian kenaikan gaji atau penambahbaikan struktur gaji dan upah sedia ada perlu diperhalusi dan dikaji secara menyeluruh bagi menjaga keharmonian dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Armizan berkata kewajaran untuk menaikkan gaji dan upah dalam perkhidmatan awam perlu mengambil kira keseluruhan jumlah emolumen yang diterima penjawat awam serta kedudukan semasa ekonomi negara.

Beliau memaklumkan emolumen penjawat awam adalah pada kadar RM90.7 bilion daripada keseluruhan Belanjawan 2023 iaitu 23.5% tanpa melibatkan emolumen badan berkanun.