- Iklan -
Berita

Gaji permulaan rendah antara faktor simpanan rendah, kata KWSP

44% penyumbang KWSP mempunyai pendapatan kurang dari RM2,000 dan 81% mempunyai pendapatan kurang dari RM5,000, menurut kenyataan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi

Gaji permulaan rendah bagi mereka yang memulakan kerjaya sebelum gaji minimum dilaksanakan pada 2013, merupakan antara beberapa faktor menyumbang kepada jumlah simpanan rendah bagi, kumpulan berumur 40 hingga 54 tahun yang mempunyai baki kurang RM10,000.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini memaklumkan, selain itu faktor lain yang turut menyumbang kepada perkara itu ialah cabaran struktur gaji, dengan 44% penyumbang KWSP mempunyai pendapatan kurang dari RM2,000 dan 81% mempunyai pendapatan kurang dari RM5,000.

“Caruman yang tidak konsisten disebabkan oleh ahli yang beralih keluar dan masuk dari sektor formal, di mana hanya 45% daripada 4.81 juta ahli dalam kumpulan umur ini, telah membuat caruman pada 2022 manakala selebihnya tidak membuat sebarang caruman pada tahun lepas.

“Hanya separuh daripada tenaga kerja sektor swasta yang berada di bawah kontrak pekerjaan formal, diwajibkan untuk membuat caruman kepada KWSP. Tenaga kerja selebihnya terdiri daripada individu dalam sektor lain seperti pertanian, pekerjaan tidak formal, pekerja kontrak atau pemilik perniagaan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu KWSP memaklumkan, sebanyak 2.85 juta atau 59% daripada ahli daripada kumpulan umur berkenaan, telah memohon lebih daripada satu kali pengeluaran berkaitan Covid-19 dan mengeluarkan sebanyak RM62 bilion, seterusnya mengurangkan lagi jumlah simpanan mereka.

Sehingga akhir Disember 2022, terdapat seramai 4.81 juta ahli KWSP dalam lingkungan umur 40 hingga 54 tahun, dengan 2.17 juta daripadanya merupakan ahli aktif dan 2.64 juta ahli tidak aktif (didefinisikan sebagai tidak membuat sebarang caruman dalam setahun lepas).

KWSP dalam pada itu menyambut baik inisiatif sumbangan one-off sebanyak RM500 oleh kerajaan kepada ahli aktif dan juga tidak aktif, sebagai langkah untuk meningkatkan simpanan persaraan ahli.

“Insentif berkenaan akan menjadi pemangkin kepada pembinaan semula simpanan ahli, untuk mencapai persaraan yang lebih selesa dan seterusnya membantu mengurangkan kesan berikutan perkembangan pesat populasi menua Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Februari berkata kerajaan bersetuju untuk menambah RM500 caruman simpanan KWSP akaun 1 bagi ahli berumur 40 hingga 54 tahun, yang miliki simpanan kurang RM10,000.