- Iklan -
Berita

Blok pembangkang kosong, ahli Parlimen ke Putrajaya sokong Muhyiddin

Difahamkan bekas perdana menteri itu akan ditahan dan dihadapkan ke mahkamah paling awal esok.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali bersama pemimpin kanan Bersatu serta penyokong hadir memberi sokongan kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin di ibu pejabat SPRM, 9 Mac.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali bersama pemimpin kanan Bersatu serta penyokong hadir memberi sokongan kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin di ibu pejabat SPRM, 9 Mac.

Persidangan Dewan Rakyat sesi pagi hari ini menarik perhatian apabila hampir semua kerusi di blok pembangkang kosong tanpa kehadiran ahli-ahli Parlimennya kerana ke Putrajaya untuk memberi sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin. 

Ini susulan perkembangan terbaru yang menyaksikan bekas perdana menteri itu dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijadualkan pada pukul 11 pagi. 

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan, Muhyiddin dipercayai berada dalam senarai pemimpin pembangkang yang akan didakwa

Sehingga kini SPRM masih belum menjelaskan bentuk pertuduhan yang bakal dikenakan terhadap ahli Parlimen Pagoh tersebut. 

Difahamkan bekas perdana menteri itu akan ditahan dan dihadapkan ke mahkamah paling awal esok. 

Sementara itu, di luar perkarangan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, kelihatan beberapa ahli Parlimen PN dan penyokong-penyokongnya sudah hadir untuk menunggu ketibaan Muhyiddin di situ. 

MalaysiaNow difahamkan semua ahli Parlimen PN dan pemimpin-pemimpin parti komponen turut akan hadir bagi memberi sokongan kepada Muhyiddin.

Sebelum ini, bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor serta seorang lagi pemimpin parti itu ditahan dan didakwa SPRM berhubung dakwaan penyelewengan yang dikaitkan dengan JanaWibawa, program pasca Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

SPRM turut membekukan akaun bank Bersatu sehinggakan parti itu tidak dapat membayar operasi hariannya.

Sebelum ini seorang pemimpin PN memberi amaran bahawa pentadbiran Anwar Ibrahim akan melakukan penahanan secara besar-besaran bagi memburuk-burukkan pemimpinnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di mana lima daripadanya mempunyai jumlah pengundi Melayu yang besar.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.