- Iklan -
Berita

SPRM tahan Wan Saiful

Ia dilakukan ketika tuduhan giat dijalankan oleh pemimpin kerajaan terhadap Bersatu.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.
Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Ahli Parlimen Bersatu Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan malam ini, MalaysiaNow dimaklumkan.

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata dua individu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Difahamkan, selain Wan Saiful, individu lain ialah ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad.

Penahanan itu dibuat beberapa hari selepas bekas perdana menteri dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin disoal SPRM berhubung kontrak yang diberikan di bawah Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (JanaWibawa), sebuah program pasca-Covid yang dibentuk bagi memperkasakan syarikat Bumiputera bertaraf tiga hingga lima bintang.

Siasatan itu juga menyebabkan SPRM membekukan akaun bank milik Bersatu.

Muhyiddin dan pemimpin Perikatan Nasional (PN) lain mengecam tindakan tersebut, berkata ia sebahagian daripada taktik untuk melucutkan dana gabungan pembangkang menjelang enam pilihan raya negeri yang bakal diadakan tahun ini.

Berucap di Dewan Rakyat minggu lepas, Muhyiddin membidas apa yang dikatakannya sebagai usaha memburu oleh pentadbiran Anwar Ibrahim terhadap PN.

"Dikatakan kita perompak, lanun supaya rakyat tidak sokong kita, tetapi saya percaya gelombang PN yang sudah kita lihat akan terus melanda negara. 

"‘There will be backlash’. Ini sentimen rakyat yang melihat telatah kerajaan hari ini berniat jahat," katanya.

Juga di Dewan Rakyat minggu lepas, Wan Saiful bercakap mengenai kempen fitnah kerajaan terhadap pemimpin pembangkang dengan mengadakan siasatan rasuah terhadap mereka.

"Bagi kerajaan PH-BN (Pakatan Harapan-Barisan Nasional) ini, betul atau tidak, itu belakang kira. Yang penting, tabur fitnah dahulu dengan matlamat mencalarkan imej serta memberi persepsi buruk terhadap Bersatu dan PN. 

“Ini adalah 'diversion tactic' sahaja, kerana kerajaan PH-BN ini sedang terdesak untuk menutup kegagalan mereka menyelesaikan masalah rakyat dan menutup amalan nepotisme yang berleluasa dalam kerajaan ini," kata Wan Saiful.