- Iklan -
Berita

Muhyiddin beri amaran ‘gelombang PN’ akan melanda 6 PRN

Katanya, tindakan kerajaan untuk memburuk-burukkan dirinya dan PN adalah berniat jahat menjelang enam PRN yang perlu diadakan tidak lama lagi.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin memberi amaran tindakan kerajaan mengadakan “witch-hunting” pentadbiran kerajaan lama akan menghasilkan reaksi tindak balas atau daripada rakyat.

Katanya, tindakan kerajaan untuk memburuk-burukkan dirinya dan PN dilakukan kerajaan mungkin kerana enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang perlu diadakan tidak lama lagi.

"Dikatakan kita perompak lanun supaya rakyat tidak sokong kita, tetapi saya percaya gelombang PN yang sudah kita lihat akan terus melanda negara. ‘There will be backlash’.

"Ini sentimen rakyat yang melihat telatah kerajaan hari ini berniat jahat," katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Bekas perdana menteri itu merujuk kepada beberapa negeri yang dijadualkan melaksanakan PRN pada pertengahan tahun ini, setelah tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada PRU15 lalu.

Katanya, tuduhan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menuduh beliau menyelewengkan sejumlah wang daripada pakej rangsangan ekonomi sewaktu PN memerintah merupakan satu fitnah.

"Kesalahan kerajaan dahulu dicari-cari, melempar tuduhan yang bukan-bukan, kononnya saya selewengkan RM600 bilion," katanya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini mengesahkan menerima butiran pakej rangsangan yang dibelanjakan pada 2020 dan 2021.

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata fokus siasatan membabitkan RM92.5 bilion daripada nilai yang didakwa Anwar, iaitu RM600 bilion.

Dalam pada itu, beliau menyelar tindakan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mahu menukar beberapa perjawatan tertinggi penjawat awam.

"Sebagai penjawat awam ada proses dan prosedur mereka. Mereka boleh dihadapkan ke jawatankuasa, bukan tidak diisi.

"Yang Berhormat jadi menteri siapa nak bantu? Takkan anak sendiri nak bantu?" katanya dalam menyindir tindakan Anwar melantik anaknya, Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat di kementerian kewangan baru-baru ini.