- Iklan -
Berita

Muhyiddin beri keterangan bantu siasatan SPRM

Ia berhubung siasatan mengenai dana RM300 juta yang dikaitkan dengan partinya, menurut sumber.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin telah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung satu siasatan mengenai dana RM300 juta yang dikaitkan dengan parti itu, menurut sumber SPRM.

Menurutnya Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pagi semalam.

Bekas perdana menteri itu dipercayai dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan dana RM300 juta yang disyaki diterima Bersatu menerusi dana di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Covid-19.

Difahamkan lebih 15 individu termasuk pemimpin parti berkenaan selain pihak kontraktor sudah dipanggil SPRM bagi dirakam keterangan.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan mengesahkan pembekuan akaun Bersatu bagi membantu siasatan.

Siasatan berhubung perkara itu dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.