- Iklan -
Berita

Apakah kerajaan PH-BN ‘putus asa’ dengan pengundi Melayu?

Penganalisis berpendapat kebajikan peneroka Felda tak dibela, pengundi muda dihina, antara lain menunjukkan kerajaan tak faham rungutan sosioekonomi orang Melayu sekali gus membuktikan pentadbiran sekarang bakal berdepan cabaran besar pada PRN nanti.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Pengundi muda Melayu menunggu giliran untuk membuang undi pada PRU15 lepas.
Pengundi muda Melayu menunggu giliran untuk membuang undi pada PRU15 lepas.

Kira-kira 10 tahun yang lalu, muka depan akhbar Utusan Malaysia memaparkan laporan Kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak dengan tajuk “Apa lagi Cina mahu?” sehingga mencetuskan polemik kerana dianggap berbaur perkauman dan hasutan oleh media arus perdana diaungi parti politik utama kerajaan ketika itu, Umno. 

Kenyataan itu diletakkan muka depan akhbar berbahasa Melayu itu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang menyaksikan undi popular beralih kepada pembangkang, Pakatan Rakyat (PR). 

Laporan itu antara lain menyebut pengundi Cina terperangkap dengan politik perkauman DAP tetapi gagal menumbangkan kerajaan ketika itu yang dikuasai Barisan Nasional (BN) serta mendapat sokongan majoriti orang Melayu.

Polemik daripada laporan itu melihat BN-Umno sudah berputus asa dengan sokongan pengundi Cina. 

Selepas sedekad berlalu, keadaan yang sama kembali dikesan apabila penganalisis mengatakan parti politik yang menjadi kerajaan dilihat hampir berputus asa dengan sokongan pengundi Melayu. 

Perikatan Nasional (PN) muncul menjadi satu gabungan politik yang memberi saingan sengit kepada BN dan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU15.

Pada PRU15, PN menguasai 74 kerusi Parlimen, sekali gus mendominasi kerusi Parlimen Melayu.

Penganalisis mengatakan pemimpin parti politik kerajaan mula menunjukkan "tanda" mereka mungkin sudah tidak lagi berharap kepada pengundi Melayu apabila isu-isu melibatkan kebajikan golongan itu seperti peneroka Felda tidak dibela dalam pembentangan Belanjawan 2023. 

Malah, inisiatif kerajaan terdahulu untuk menghapuskan hutang peneroka keseluruhan bernilai RM8 bilion turut dihentikan. 

Selain itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail juga dikecam hebat apabila membuat kenyataan dikatakan menghina pengundi muda mengatakan yang rendah taraf pendidikan dan tidak bergaji tinggi adalah penyokong PN pada PRU15. 

Seorang lelaki Melayu berjalan melalui deretan bendera pelbagai parti yang dipacak dibahu jalan dan di kawasan rumah pangsa PKNS di Jalan Enggang, Keramat, Kuala Lumpur.
Seorang lelaki Melayu berjalan melalui deretan bendera pelbagai parti yang dipacak dibahu jalan dan di kawasan rumah pangsa PKNS di Jalan Enggang, Keramat, Kuala Lumpur.

Penganalisis politik berpandangan situasi-situasi itu membuktikan PH-BN sememangnya sedang menghadapi cabaran besar memenangi hati dan sokongan majoriti orang Melayu. 

Anis Anwar Suhaimi dari O2 Research Malaysia berkata kenyataan Saifuddin dan ketiadaan fokus Belanjawan 2023 terhadap Bumiputera menunjukkan mereka kurang faham kepada rungutan sosioekonomi orang Melayu. 

"Membaca data tanpa kefahaman yang mendalam terhadap akal budi Melayu akan menjurus pada pemesongan tafsiran kepada kelompok ini khususnya penilaian yang dilakukan bersifat urban centric," katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, sokongan pengundi Melayu hakikatnya lebih kompetitif dan demokratik kepada parti-parti yang bertanding. 

Menurut Anis, ianya diterjemahkan pada pola pengundian mereka yang rencam dan berbeza antara PRU13, PRU14 dan PRU15.

Katanya, ini menunjukkan adanya mesej politik yang sedang disampaikan oleh masyarakat Melayu kepada seluruh pemimpin politik yang inginkan sokongan mereka.

Tambah Anis lagi, di sisi demokrasi tahap pendidikan dan pendapatan ekonomi bukanlah melambangkan kualiti demokrasi semata-mata tetapi menunjukkan setiap kumpulan masyarakat yang berbeza mempunyai tuntutan tersendiri yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan. 

"Perangkaan dasar negara yang tidak memenuhi aspirasi masyarakat Melayu berserta pandangan yang prejudis terhadap demografi mereka akan mengundang tindak balas yang lebih reaktif kepada PH. 

"Khususnya di mana PRN akan datang bakal menjadi medan ujian kedua dalam menentu ukur tahap sokongan orang Melayu khususnya di kawasan majoriti Melayu terhadap kerajaan semasa."

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar melihat kenyataan yang dibuat oleh setiausaha agung PKR sebagai kenyataan kurang tepat.

Hisommudin berkata Saifuddin dikenali sebagai selalu bercakap bersandarkan fakta dalam ucapannya. 

Tetapi berbeza kali ini apabila petikan ceramah berkenaan kurang tepat dari sudut fakta. 

Katanya, sokongan PN adalah merentasi umur jika dilihat kepada keputusan pilihan raya yang lepas. 

Katanya, di negeri jajaran Melayu semua saluran pengundian berlaku peningkatan berganda kepada PN jika dibandingan dengan keputusan PRU14.

Menurut Hisommudin, ini bermakna sokongan kepada PN disumbangkan oleh semua lapisan masyarakat sama ada muda atau tua, pendidikan tinggi atau rendah. 

"Kekurangan kepada PN ialah segmen bukan Melayu.

"Oleh itu, saya melihat kenyataan berkenaan lebih kepada menyedapkan hati jentera PH tetapi bukan berlandaskan fakta sebenar," katanya.