- Iklan -
Berita

Kerajaan Anwar kitar semula inisiatif era Najib, kata penganalisis

Ia menunjukkan kerajaan semasa yang diketuai Pakatan Harapan membuat kesilapan dan membawa naratif salah ketika mengkritik teruk pentadbiran Najib Razak.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berada di Manila ketika melakukan lawatan kerja ke Filipina pada 2 Mac. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berada di Manila ketika melakukan lawatan kerja ke Filipina pada 2 Mac. Gambar: Reuters

Tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan atau sekurang-kurangnya mempertimbangkan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan era Barisan Nasional (BN) ibarat menelan air ludah sendiri, kata penganalisis politik, Jeniri Amir.

Felo kanan Majlis Profesor Negara (MPN) itu berkata, tindakan itu secara langsung menunjukkan kerajaan semasa yang diketuai Pakatan Harapan (PH) membuat kesilapan dan membawa naratif salah ketika mengkritik teruk pentadbiran Najib Razak.

Beliau berkata, antara contoh terbaik ialah kenyataan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang tidak menolak kemungkinan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada masa hadapan.

Menurut Jeniri, sistem percukaian itu bagaimanapun dijadikan sebagai senjata politik untuk menumbangkan kerajaan dengan menyemarakkan kemarahan rakyat, kononnya ia menjadi salah satu faktor kos sara hidup meningkat.

"160 negara di seluruh dunia menggunakan GST dan sudah tentu kerajaan pada ketika itu sudah melakukan kajian (sebelum memperkenalkan sistem percukaian itu)," katanya kepada MalaysiaNow.

"Dengan adanya ura-ura nak kembalikan GST, walaupun bukan sekarang, ia menunjukkan kerajaan sekarang mengaku bahawa tindakan menghapuskan GST adalah sesuatu yang salah.

"Kini mereka terpaksa kemukakan hujah-hujah dan naratif untuk meyakinkan rakyat."

GST diperkenalkan pada 1 April 2015 menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika Najib menjadi perdana menteri dan menteri kewangan.

Bagaimanapun, GST dijadikan modal kempen PH sehingga berjaya menumbangkan BN pimpinan Najib pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Selain GST, pengumuman kerajaan mengenai MRT Fasa 2 yang dijangka mula beroperasi 16 Mac depan serta usaha memperkasakan program Rakan Muda turut mengundang kritikan ramai apabila inisiatif ini adalah penerusan daripada idea kerajaan terdahulu.

"Sebab itu mana-mana pembangkang harus kemukakan idea berdasarkan fakta.

"Bukan sentimen melulu untuk menang pilihan raya sebab akhirnya yang rugi ialah rakyat," kata Jeniri.

Sementara itu, penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun, berpandangan kerajaan hari ini wajar meneruskan inisiatif yang diperkenalkan pentadbiran lama sekiranya ia dilaksanakan dengan cara yang betul.

Menurutnya, kritikan PH pada ketika itu lebih tertumpu kepada kaedah pelaksanaan yang mana ia hanya menguntungkan sesetengah pihak.

Mengulas mengenai prestasi 100 hari kerajaan, Oh berkata, kerajaan masih belum berjaya melaksanakan sebarang perubahan ketara.

Katanya, faktor ini mungkin kerana kerajaan terlalu menumpu kepada usaha menepis cabaran daripada Perikatan Nasional (PN) terutama apabila tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan semakin hampir.

"Jika mengumumkan sesuatu besar, mungkin ia memerlukan pembaharuan.

"Ini boleh menjejaskan sokongan pemegang taruh dan mungkin mereka akan beralih sokongan ke PN," katanya.