- Iklan -
Berita

Anwar guna ‘optik’ tingkatkan sokongan Melayu, kata Khairy

Ia diterjemahkan sebagai tindak balasnya kepada pengundi Melayu apabila mengetahui sokongan daripada kaum itu kepada Pakatan Harapan kurang memuaskan pada PRU15.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat pada 13 Februari. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat pada 13 Februari. Gambar: Bernama

Penampilan yang dipamerkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di mata rakyat dilihat lebih menjurus kepada usaha untuk meningkatkan sokongan daripada Melayu kepada kerajaannya, kata Khairy Jamaluddin.

Bekas ahli Parlimen Rembau itu berkata, kebanyakan optik yang ditunjukkan Anwar diterjemahkan sebagai tindak balasnya kepada pengundi Melayu apabila mengetahui sokongan daripada kaum itu kepada Pakatan Harapan (PH) kurang memuaskan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, optik yang dinyatakan itu termasuk program-program yang dianjurkan bersama golongan ulama, interaksi dengan intelektual Melayu serta cara pemakaian ahli Parlimen Tambun itu.

"Bukan setakat tidak pakai tali leher, tetapi pakai songkok dengan sut ketika lawatan di luar negara," katanya dalam sesi podcast bersama bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan.

"Ada imej nasionalisme Pan Melayu daripada apa yang kita lihat pada 1950-an dahulu pada era Sukarno (presiden pertama Indonesia)."

"Saya melihat semua optik ini menjurus kepada satu objektif politik iaitu untuk mendapat sokongan daripada golongan Melayu,” kata Khairy yang juga bekas menteri kesihatan.

Dalam pada itu, Khairy turut memberi markah "B tolak" kepada prestasi 100 hari kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) itu.

Katanya, markah itu dianggap bagus kerana jauh melepasi kadar lulus, tetapi dasar jangka panjang negara masih lagi samar-samar setakat ini.

"Ada banyak ‘gap’ dari segi dasar dan prestasi Kabinet yang tidak konsisten. Ada (menteri) yang bagus dan ada yang tak menyerlah dalam membantu perdana menteri menentukan hala tuju negara.

"Jadi, markah B- ini cukup tinggi dengan (Ahmad) Zahid (Hamidi) sebagai timbalan perdana menteri,” kata beliau.

Melangkah ke hadapan, Khairy berpandangan tempoh enam bulan akan datang akan menjadi tempoh penting bagi kerajaan dan perdana menteri membuktikan kemampuan untuk mentadbir dan mengurus negara.

Katanya, antara perkara yang akan diperhatikan ialah sama ada Anwar akan berperanan sebagai "pengerusi eksekutif" atau "pengerusi bukan eksekutif" yang meletakkan hala tuju dan falsafah Madani lalu menurunkan semua butiran kepada Kabinet dan ketua setiausaha Negara atau beliau akan menjadi "ahli falsafah" dan "pengurus".

"Apabila hendak memacu reformasi, memerlukan PM yang turut terlibat (dalam proses pelaksanaan) tetapi tidak mengganggu kerja penjawat awam.

"Jika tidak dapat diterjemahkan. Prestasi 100 hari tidak teruk, tetapi kita nak tengok enam bulan akan datang untuk melihat sama ada kerajaan kita ada kebolehan," tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.