- Iklan -
Berita

Dewan Rakyat setuju bahas usul tergempar banjir

Ahli Parlimen DAP Kluang gesa kerajaan ambil langkah lebih proaktif lindungi nyawa, harta rakyat yang terancam dengan perubahan iklim.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seekor burung merpati melintasi Bandar Kota Tinggi yang ditenggelami air berikutan limpahan air Sungai Johor, 2 Mac. Gambar: Bernama
Seekor burung merpati melintasi Bandar Kota Tinggi yang ditenggelami air berikutan limpahan air Sungai Johor, 2 Mac. Gambar: Bernama

Persidangan Dewan Rakyat hari ini bersetuju untuk membahaskan usul tergempar berkaitan isu banjir yang kerap melanda negara ketika ini pada 1 tengah hari.

Usul itu dikemukakan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1), dengan mencadangkan Dewan Rakyat menggesa kerajaan mengambil langkah lebih proaktif untuk melindungi nyawa dan harta rakyat yang terancam dengan perubahan iklim.

“Banjir di Johor melanda semua 10 daerah yang menyebabkan kerosakan kepada beberapa pekan di Johor kali ini lebih serius berbanding banjir pada 2006 dan 2007,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Antara cadangan langkah proaktif yang dikemukan, Wong berkata kerajaan perlu menambah baik prosedur operasi standard (SOP) berhubung pelepasan air empangan untuk mengatasi cuaca yang melampau.

Di samping itu, beliau turut meminta agar kerajaan bersiap siaga dalam memastikan bekalan barang asas bagi pusat pemindahan sementara (PPS) adalah sentiasa mencukupi untuk sepanjang tahun memandangkan negara boleh dilanda bencana banjir bila-bila masa akibat perubahan iklim.

Wong berkata kerajaan juga perlu mempertimbangkan semula untuk mengizinkan penyediaan makanan di PPS seperti keadaan semasa sebelum pandemik Covid-19. 

“Ini adalah perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai kerana mangsa banjir Johor telah mencecah 40 ribu orang. Ini perkara berkehendak disegerakan kerana rakyat sedang menanti bantuan serta tindakan lebih proaktif daripada kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Ramli Mohd Noor memaklumkan Yang Dipertua Johari Abdul menerima pemberitahuan usul itu pada Jumaat lepas dan mendapati usul berkenaan memenuhi tiga syarat iaitu perkara itu tertentu, bagi kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan, untuk dipertimbangkan Dewan Rakyat.

Usul untuk perkara itu dibincangkan dan dipersetujui ahli Parlimen melalui undian suara selepas dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali.