- Iklan -
Berita

Kerajaan ulangi pendirian tidak akan iktiraf UEC

Menteri pendidikan berkata kerajaan terikat dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pelajar sekolah Cina menyeberangi jejambat selepas tamat sesi persekolahan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur.
Pelajar sekolah Cina menyeberangi jejambat selepas tamat sesi persekolahan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur.

Kementerian Pendidikan sekali lagi menjelaskan bahawa tidak akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), langkah yang mungkin mengundang reaksi DAP yang merupakan sebahagian daripada kerajaan campuran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan selama ini lantang menuntut pengiktirafan peperiksaan sekolah persendirian Cina itu.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata keputusan itu selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.

"Sehingga kini Kementerian Pendidikan Malaysia tiada perancangan untuk mengiktiraf UEC yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina," katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) semalam.

Ini merupakan kali kedua dalam tempoh tidak sampai dua minggu Fadhlina berkata kerajaan tidak akan mengiktiraf UEC.

Pada 20 Februari, beliau berkata kementeriannya tidak melihat isu itu sebagai keutamaan, dalam jawapan kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Isu UEC dianggap isu hangat buat Anwar, yang gabungannya Pakatan Harapan (PH) bergelut dengan kekurangan sokongan orang Melayu yang beralih kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum lepas.

Umno, yang sokongannya penting untuk Anwar membentuk kerajaan, menyerang pihak yang menuntut pengiktirafan UEC.

Beberapa hari selepas mengangkat sumpah jawatan tertingginya tahun lepas, kumpulan pendidikan Cina Dong Zong menggesa agar UEC diiktiraf untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Dalam manifesto pilihan raya umum tahun lepas, PH berjanji untuk meneruskan usaha mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat am kemasukan ke IPTA, dengan syarat pemohon mendapat kepujian dalam kertas Bahasa Melayu SPM

"Untuk tujuan ini, sijil UEC akan dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA," menurut manifesto PH.

Pada 2020, pemimpin DAP Nga Kor Ming memberi amaran yang parti itu tidak akan teragak-agak meninggalkan pentadbiran PH yang dipimpin oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad jika ia enggan mengiktiraf UEC.

"Malah kami telah mencapai kata sepakat. Jika UEC tidak diiktiraf, DAP akan tidak teragak-agak untuk menarik diri daripada kerajaan.

"Tak apa tak duduk dalam kerajaan. Ini prinsip asas kami yang akan terus kami pegang," katanya kepada Oriental Daily, akhbar berbahasa Cina, dalam satu wawancara.