- Iklan -
Berita

Penjawat awam kumpulan tertinggi terlibat rasuah di Selangor, kata SPRM

SPRM Selangor berkata seramai 170 penjawat awam ditahan antara 2018 dan 2022 berbanding 84 pekerja swasta, 50 orang awam dan 5 individu daripada GLC.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pekarangan lobi SPRM semasa waktu rehat. Gambar: Bernama
Petugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pekarangan lobi SPRM semasa waktu rehat. Gambar: Bernama

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini mendedahkan penjawat awam merupakan kumpulan tertinggi ditahan suruhanjaya itu bagi siasatan berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa antara 2018 dan 2022.

Pengarahnya Alias Salim berkata berdasarkan rekod seramai 170 penjawat awam telah ditahan, diikuti 84 tangkapan melibatkan pekerja swasta, 50 orang awam dan masing-masing lima ahli politik serta individu daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Sepanjang tempoh tersebut, 314 tangkapan yang dibuat sebelum ini menunjukkan tahun 2022 merekodkan tangkapan tertinggi iaitu sebanyak 72 tangkapan, diikuti 2018 (66) dan 2021 (63).

"Daripada jumlah tangkapan itu, pihak kami telah membuka 269 kertas siasatan berkaitan kes rasuah dengan 135 pertuduhan di mahkamah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, tahun 2020 menunjukkan pembukaan kertas siasatan tertinggi sepanjang tempoh lima tahun tersebut iaitu 64 kertas siasatan diikuti 2019 (57) dan 2022 (50).

Alias berkata dalam tempoh yang sama SPRM Selangor telah menerima 1,764 maklumat berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Pada 2018, sebanyak 378 maklumat diterima, diikuti 2019 (344) dan 2022 (331). SPRM Selangor turut mencatatkan sitaan berjumlah RM366,845 selain melucut hak rampasan pesalah rasuah bernilai RM1,768,554.89," katanya.

Beliau berkata selain daripada menjalankan siasatan berkaitan kes-kes rasuah di Selangor, badan itu turut melaksanakan tindakan pencegahan rasuah dengan melaksanakan pemeriksaan ke atas amalan, sistem serta prosedur sektor awam dan swasta bagi mengenal pasti kelemahan yang boleh membuka ruang dan peluang rasuah.

Tambahnya sepanjang tempoh tersebut, 406 ceramah khusus buat kumpulan sasar dengan 721 program berteraskan pencegahan rasuah disampaikan kepada agensi kerajaan dan swasta, GLC, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.