- Iklan -
Berita

15 Jun dengar permohonan pasukan petugas khas, kerajaan batal saman Tommy Thomas

Thomas, yang merupakan peguam negara dari Jun 2018 hingga Februari 2020, memohon pengisytiharan bahawa laporan mengenai memoirnya adalah dokumen yang tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan bekas peguam negara Tommy Thomas bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Julai 2018. Gambar: AFP
Gambar fail menunjukkan bekas peguam negara Tommy Thomas bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Julai 2018. Gambar: AFP

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 15 Jun ini untuk mendengar permohonan pasukan petugas khas dan kerajaan bagi membatalkan saman pemula oleh bekas Peguam Negara Tommy Thomas, berhubung laporan siasatan mengenai kandungan memoirnya bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness”.

Thomas selaku plaintif, memfailkan saman itu dengan menamakan Pengerusi Pasukan Petugas Khas Datuk Seri Fong Joo Chung, tujuh ahli pasukan itu dan kerajaan sebagai defendan.

Selain Fong, ahli pasukan petugas itu terdiri daripada Hashim Paijan, Junaidah Kamaruddin, Jagjit Singh Bant Singh, Shaharudin Ali, K Balaguru, Farah Adura Hamidi dan Mohd Najib Surip.

Peguam Kanan Persekutuan Nur Irmawatie Daud mewakili kesemua defendan ketika dihubungi berkata, mahkamah turut mengarahkan pihaknya memfailkan hujahan bertulis pada 27 Mac ini.

"Plaintif juga diarah memfailkan hujahan bertulis pada 10 April dan kesemua defendan memfailkan hujahan balas pada 2 Mei, sekiranya ada," katanya selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh hari ini yang turut disertai peguam Haikaldin Mahyidin, mewakili Thomas. 

Thomas, yang merupakan Peguam Negara antara Jun 2018 hingga Februari 2020, memohon perisytiharan bahawa, laporan bertajuk “Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice In The Wilderness”, merupakan dokumen tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang.

Dalam saman pemula itu, beliau berkata penerbitan laporan itu melanggar Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan dan/atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan, melanggar haknya terhadap reputasinya seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.

Buku tulisan bekas peguam negara itu diterbitkan pada Januari 2021 didakwa menimbulkan pelbagai kontroversi, menyebabkan Kabinet pada 8 Oktober 2021 menubuhkan pasukan petugas khas untuk menjalankan kajian awal ke atas pendedahan terkandung dalam buku tersebut.

Pada 13 Okt 2022, kerajaan menyahklasifikasi laporan pasukan petugas khas itu, antara lain mengesyorkan supaya Thomas disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan.