- Iklan -
Berita

Wan Saiful letak jawatan ketua penerangan Bersatu

Keputusan diambil selari dengan prinsip perjuangan, kata ahli Parlimen Tasek Gelugor, menambah tindakannya sama sekali berbeza dengan kluster mahkamah yang bermaharajalela dalam kerajaan hari ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Bersatu Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan di kompleks mahkamah Kuala Lumpur, 21 Februari.
Ahli Parlimen Bersatu Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan di kompleks mahkamah Kuala Lumpur, 21 Februari.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan hari ini mengumumkan hasrat untuk meletak jawatan sebagai ketua penerangan Bersatu selepas didakwa di mahkamah semalam atas tuduhan rasuah RM6.9 juta berhubung Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (JanaWibawa).

Wan Saiful, dalam sidang media di Parlimen hari ini berkata, hasrat untuk melepaskan jawatan itu dibuat untuk membersihkan namanya, namun pada masa sama menegaskan masih memegang jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Hasrat meletak jawatannya itu disampaikan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan setiausaha agung parti Hamzah Zainudin, katanya, selain menambah yang keputusan itu terletak kepada MPT.

Selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin, beliau dibawa ke mahkamah untuk berdepan dengan tuduhan memberi dan menerima rasuah tersebut.

Wan Saiful bagaimanapun mengaku tidak bersalah, ketika Muhyiddin mendakwa kes mahkamah terhadap pemimpin parti itu didalangi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang bertujuan untuk melemahkan partinya.

Wan Saiful membandingkan keputusannya melepaskan jawatan parti dengan pihak lain yang berdepan pertuduhan mahkamah, yang menurutnya menggunakan jawatan eksekutif mereka untuk kepentingan sendiri.

"Jawatan ketua penerangan adalah jawatan eksekutif dalam parti, maka saya melepaskan jawatan eksekutif ini kerana inilah juga pegangan yang saya yakini selama ini sehinggalah saya dapat bersihkan nama saya melalui proses perundangan.

"Keputusan yang saya ambil ini sesuai dengan prinsip integriti dan perjuangan yang saya junjung selama ini. 

“Tindakan ini ingin juga, saya nak tegaskan, membezakan antara saya dengan kluster mahkamah yang bermaharajalela dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) hari ini," katanya.

Pada masa sama, Wan Saiful menekankan untuk tidak teragak-agak mengambil tindakan perundangan jika ada pihak cuba memburuk-burukkan namanya.

"Jadi jangan sesekali ada mana-mana pihak cuba menyamakan saya dengan individu-individu lain dalam kluster mahkamah."

Tambahnya, keputusan beliau meletak jawatan ini sesuatu yang baik untuk Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu, menjadi bukti apa yang diperjuangkan gabungan itu selama ini dilaksanakan.

"Ini membuktikan dalam Bersatu dan PN kita tak teragak-agak. 

“Kita juga bukan jenis yang bermuka-muka dalam menggunakan jawatan untuk kepentingan peribadi."

Wan Saiful berkata beliau berharap rakyat dapat melihat kepincangan dalam pentadbiran kerajaan ketika ini yang mengabaikan kepentingan rakyat untuk kepentingan politik mereka.

"Berbanding fokus kepada isu-isu rakyat, kos sara hidup yang semakin meningkat, isu bekalan telur dan ayam dalam pasaran. Tetapi apa yang dibuat adalah proses membalas dendam.

"Kesumat politik ini adalah sesuatu yang berterusan dalam kerajaan hari ini, sebagai langkah untuk menutup kegagalan mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang sewajarnya mereka jalankan."