- Iklan -
Berita

Akta ganti Akta Penagih Dadah 1983 dalam proses akhir, kata menteri

Ia akan mengutamakan aspek pemulihan berbanding hukuman, antara lain, kata Saifuddin Nasution.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Kementerian Dalam Negeri dalam proses akhir memperkenalkan akta penyalahgunaan dadah yang antara lain akan memberi tumpuan kepada aspek pemulihan penagih berbanding hukuman yang diguna pakai dalam Akta Penagih Dadah 1983. Gambar: AFP
Kementerian Dalam Negeri dalam proses akhir memperkenalkan akta penyalahgunaan dadah yang antara lain akan memberi tumpuan kepada aspek pemulihan penagih berbanding hukuman yang diguna pakai dalam Akta Penagih Dadah 1983. Gambar: AFP

Kerajaan dalam proses akhir memperkenalkan akta baru yang menerapkan kaedah rawatan bagi menggantikan aspek hukuman bagi kesalahan berkait pesalah dadah, kata Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri dalam negeri itu berkata, rangka pembuatan akta baru itu sudah siap dan kini dalam proses akhir yang melibatkan penilaian beberapa pihak termasuk Pejabat Peguam Negara. 

Katanya, jika semua proses itu berjalan mengikut jadual yang ditetapkan, kementeriannya berharap akta baru yang dikenali sebagai Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Pencegahan Rawatan dan Pemulihan) bakal menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) tahun 1983. 

Katanya lagi, akta baru itu juga akan meningkatkan akses pesalah dadah untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan merangkumi aspek perundangan yang lebih komprehensif. 

"Tapi, sifat yang paling penting dan ciri yang paling penting adalah aspek pemulihan berbanding dengan hukuman," katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini. 

Terdahulu, bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainuddin berkata kementerian itu sedia menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang dianggap agak lama serta perlu disesuaikan situasi semasa.

Cadangan penggantian akta sedia ada itu pernah dibangkitkan di Parlimen pada 2020 dalam usaha mengurangkan kadar kesesakan teruk banduan kesalahan dadah dalam penjara. 

Sebaliknya, tahanan kes penagihan dihantar terus ke pusat pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi tujuan rawatan lebih berkesan berbanding kaedah berbentuk hukuman diamalkan selama ini.