- Iklan -
Berita

Cadangan tawaran pajakan Kampung Baru tak wajar, kata Anwar

Beliau berkata terdapat cadangan membawa syarikat swasta bagi pembangunan kawasan itu tetapi menjejaskan kepentingan kaum Melayu dan ia tidak boleh diterima.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara sebahagian dari Kampung Baru di Kuala Lumpur, 10 November 2020.
Pemandangan udara sebahagian dari Kampung Baru di Kuala Lumpur, 10 November 2020.

Kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan penawaran pajakan bagi pembangunan kawasan Kampung Baru di ibu negara yang boleh menjejaskan hak orang Melayu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata terdapat cadangan membawa syarikat swasta bagi pembangunan kawasan itu tetapi menjejaskan kepentingan kaum Melayu dan ia tidak boleh diterima.

Selain menyifatkan cadangan penawaran pajakan sehingga 99 tahun tidak wajar, Anwar meminta ruang untuk mengkaji cadangan itu secara terperinci.

“Kita akan bincang dengan mantan Menteri Wilayah Persekutuan dan pastikan pembangunan berjalan tetapi kepentingan masyarakat Melayu di Kampung Baru dipertahankan.

“Kalau ada pajakan itu untuk 60, 99 tahun akan timbul keresahan masyarakat Melayu. Cadangan tentang pajakan ini, saya tak boleh terima… beri ruang saya kaji semula dan rujuk pendapat masyarakat tempatan sendiri,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) berhubung sama ada kerajaan bercadang meneruskan pembangunan Kampung Baru secara menyeluruh selaras dengan sasaran Kuala Lumpur Smart City 2030.

Perdana menteri berkata dalam soal pembangunan di Kampung Baru setiap kaedah atau langkah yang diambil perlu berlandaskan prinsip menjaga kepentingan wilayah Melayu (rizab kawasan Melayu) di Kuala Lumpur, walaupun tindakan itu mengambil masa yang lama.

Menjawab soalan tambahan Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) mengenai jaminan kerajaan melaksanakan janji berkaitan pembangunan Kampung Baru, Anwar menegaskan terdapat tindakan yang dilaksanakan dan ia bukan sekadar jaminan (kata-kata) semata-mata.

“Saya beri jaminan, malah menangguhkan beberapa program yang saya tidak yakin (ia) akan mempertahankan hak orang Melayu di situ… tindakan sudah diambil.

“Dari segi perumahan, gerai dan juga (projek) smart city, semua itu dilakukan tanpa menjejaskan (hak Melayu). Saya sudah beri ketetapan dan pegawai-pegawai juga sudah sedia maklum.

“Semua keputusan dulu yang selari pendirian ini (menjaga hak Melayu) akan diteruskan, tetapi dasar yang menjejaskan kerangka besar dasar (jaga hak Melayu) tidak diterima… kita tunggu dan saya akan buktikan,” katanya.