- Iklan -
Berita

Anwar ulangi kesilapan Pak Lah, kata penganalisis

PM ke-5 jatuh selepas angkat menantunya Khairy, PM ke-10 tidak akan kekal lama ditampuk kuasa jika benarkan anaknya dekat dengan pusat kuasa, kata Ahmad Atory.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim dan anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar.
Anwar Ibrahim dan anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar.

Penganalisis politik memberi amaran kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa pelantikan anaknya, Nurul Izzah dalam jawatan kerajaan ibarat mengulangi kesilapan sama yang dilakukan Abdullah Ahmad Badawi.

Ahmad Atory Hussain dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pelantikan itu boleh menggugat kedudukan Anwar seperti yang berlaku pada Abdullah atau lebih dikenali sebagai "Pak Lah" sebelum meletakkan jawatan pada 2009.

"Ini yang berlaku kepada Pak Lah, apabila melantik Khairy Jamaluddin (menantunya). Akhirnya Pak Lah jatuh," katanya kepada MalaysiaNow.

"Itu yang Anwar perlu ingat. Jika nak kekal lama sebagai PM, janganlah buat kerja seperti ini. Jangan tiru Pak Lah."

Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR, pada Januari dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri.

Lantikan ini kemudian dipersoalkan ramai memandangkan ia dikategorikan sebagai nepotisme, amalan yang ditentang Anwar sendiri semasa beliau menjadi ketua pembangkang.

Malah, lantikan itu juga tidak dipersetujui oleh beberapa aktivis badan bukan kerajaan (NGO) termasuk bekas presiden Majlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan yang turut membidas tindakan Anwar itu.

Anwar sebelum ini melarang anggota Kabinet memberi gaji atau ganjaran daripada peruntukan kerajaan kepada ahli keluarga jika mereka dilantik sebagai penasihat atau pegawai.

"Lampu hijau untuk semua menteri membawa masuk keluarga!" tulis Ambiga dalam catatan di Twitternya.

Dalam pada itu, Atory berkata, lantikan Nurul Izzah itu juga dibimbangi akan menimbulkan masalah dengan birokrat lain, memandangkan sudah ada portfolio menteri ekonomi dan timbalan menteri kewangan yang dipegang oleh Rafizi Ramli dan Ahmad Maslan serta Steven Sim.

Peranan Nurul Izzah pada Februari kemudian berubah selepas ditawarkan untuk berkhidmat di bawah Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan oleh Mohd Hassan Marican.

Bagaimanapun, Atory berkata, perubahan tanggungjawab ini dianggap masih tidak dapat "melarikan diri" daripada amalan nepotisme memandangkan Anwar juga merupakan menteri kewangan.

Katanya, walaupun Nurul Izzah berhak mendapat peluang untuk diberikan tanggungjawab dalam kerajaan, bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu seharusnya dijauhkan daripada pusat kuasa dan lebih wajar diberi peluang di kementerian lain.

"Bukan (Anwar) tidak boleh lantik anaknya, tetapi perlu menjauhi daripada pusat kuasa.

"Jika menteri kewangan bukan Anwar, maka saya setuju (dengan lantikan tersebut)," tambahnya.