- Iklan -
Berita

Mana formula ‘raja formula’, PN selar Rafizi

Mas Ermieyati Samsudin berkata kerajaan perlu mempertimbangkan kembali permohonan pencarum yang semakin dihimpit dengan masalah kewangan dalam kehidupan seharian.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati.
Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati.

Ahli Parlimen Masjid Tanah (Bersatu) Mas Ermieyati Samsudin meminta kerajaan campuran mempertimbangkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meskipun sudah dinyatakan tidak akan dibenarkan pengeluarannya pada minggu lalu.

Katanya, bersesuaian dengan idea Malaysia Madani yang mengutamakan nilai “ihsan” dalam pentadbiran, kerajaan perlu mempertimbangkan kembali permohonan pencarum yang semakin dihimpit dengan masalah kewangan dalam kehidupan seharian.

Atas sebab itu, kata Ermieyati, kerajaan yang mengatakan dirinya mempunyai “ihsan” seharusnya membantu golongan itu dengan mempertimbangkan semula pengeluaran KWSP secara bersasar.

“Dan kalau kita nak tunggu formula daripada raja formula, kata tak sampai sebulan pembangkang akan terduduk.

“Ni sampai nak masuk dua bulan, tak dapat lagi formula daripada raja formula sebagaimana yang telah pun dijanjikan,” katanya semasa membahas titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Dewan Rakyat, hari ini.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau dipercayai merujuk kepada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang sebelum ini dilaporkan berkata pihak yang mempertikaikan formulanya berhubung penawaran dan permintaan barangan dari Perikatan Nasional (PN) akan “terduduk”.

Mengulas lanjut, Ermieyati menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim secara konsisten peduli tentang permasalahan rakyat sepertimana ketika beliau menjadi ketua pembangkang.