- Iklan -
Berita

Penganalisis persoal metodologi kajian PH berhubung peratusan undi Melayu

Pakatan Harapan perlu menjelaskan bagaimana kaedah yang digunakan dalam merumuskan peratusan sokongan undi Melayu pada PRU15.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pengundi memasukkan kertas undi ke dalam peti yang disediakan selepas menjalankan tanggungjawab di Sekolah Kebangsaan Klang Gate, Hulu Kelang, 19 November 2022.
Seorang pengundi memasukkan kertas undi ke dalam peti yang disediakan selepas menjalankan tanggungjawab di Sekolah Kebangsaan Klang Gate, Hulu Kelang, 19 November 2022.

Pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) mendapat 31% undi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak meyakinkan seorang penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, PH perlu menjelaskan bagaimana metodologi dan kaedah yang digunakan dalam merumuskan peratusan berkenaan.

"Angka itu hanya anggaran. Untuk membuat anggaran, perlu melihat kepada peti undi dalam satu-satu Parlimen dan kemudian melihat demografi Melayu dan bukan Melayu," katanya kepada MalaysiaNow.

Anwar pada satu sidang akhbar baru-baru ini menafikan dakwaan sokongan Melayu kepada PH berada pada tahap rendah.

Angka 31% itu katanya diperoleh daripada dapatan pasukan penyelidik PKR.

Menurut presiden PKR itu, sokongan kepada PH berada pada tahap rendah di Kelantan dan Terengganu, namun melebihi 50% di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Beliau dipercayai merujuk kepada peratusan oleh pengkaji Bridget Welsh. 

Welsh menerbitkan dapatan awal yang menunjukkan PH hanya memperoleh 11% undi Melayu. 

Barisan Nasional (BN) memenangi sebanyak 33% undi Melayu manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh baki selebihnya.

Mazlan berkata, penyelidik tidak akan mempunyai data tepat kerana mereka tidak mengetahui kaum pengundi, melainkan nombor siri pada kertas undi dipadankan dengan maklumat pengundi.

"Mustahil perkara ini dapat dibuat, lagi pun undi itu rahsia," katanya.

Mazlan, yang menjalankan tinjauan sebelum PRU15 berkata, PH memperoleh kira-kira 18% purata undi Melayu.

Menurut Mazlan, beliau menjalankan kajian di kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar. 

Tinjauan secara fizikal katanya, jauh lebih tepat berbanding panggilan telefon yang mungkin tidak dijawab dengan baik oleh responden yang dihubungi pihak pengkaji.

Tinjauan menerusi panggilan telefon ialah satu cara yang pernah digunakan oleh badan pemikir yang dikepalai Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Invoke.

Di bandar, sokongan Melayu kepada PH berada pada kira-kira 25%, separa bandar (18-20%) dan luar bandar (7%).

"Namun angka 18% ini tidak semestinya diterjemahkan dalam PRU. Mungkin pada saat-saat akhir ada isu yang menyebabkan penolakan atau penambahan undi kepada PH.

"Ada responden yang tiada masalah menjawab parti mana yang disokong, ada yang tidak tahu. Peratusan yang tidak tahu atau atas pagar melebihi kumpulan yang sudah membuat keputusan," katanya.

Menurut Mazlan, angka sokongan kepada PH itu boleh meningkat kepada 25% selepas responden membuang undi. 

Katanya, PH banyak menang di kawasan majoriti Melayu di pantai barat, sekali gus menjadikan angka 11% sokongan Melayu kepada PH yang disebut-sebut sebelum ini sebagai mustahil.

PH menjadi blok terbesar di Parlimen selepas memenangi 82 kerusi, diikuti PN dengan 74 kerusi.

BN pula menang 30 kerusi dan selebihnya ialah parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Mazlan berkata perbincangan mengenai angka sokongan kekal menjadi subjektif. 

"Dapatan kajian juga mungkin berubah.

“Sikap responden semasa kajian dijalankan tidak sama dengan semasa mereka memangkah kertas undi."