- Iklan -
Berita

Mahkamah rayuan Perancis akan putuskan rayuan kes kapal selam Scorpene

Keputusan itu akan dibuat pada 11 April ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
KD Tunku Abdul Rahman adalah sebuah kapal selam Scorpene yang dibangunkan syarikat perkapalan DCNS dan Navantia dari Sepanyol untuk kegunaan tentera laut Malaysia. Gambar: Bernama
KD Tunku Abdul Rahman adalah sebuah kapal selam Scorpene yang dibangunkan syarikat perkapalan DCNS dan Navantia dari Sepanyol untuk kegunaan tentera laut Malaysia. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan Paris akan membuat keputusan pada 11 April terhadap rayuan yang dikemukakan oleh dua syarikat pertahanan Perancis berhubung siasatan ke atas dakwaan rasuah membabitkan penjualan kapal selam ke Malaysia pada 2002, menurut sumber kehakiman kepada AFP.

Dalam pendengaran pada 14 Februari, pasukan penyiasat berjaya menangani beberapa usul untuk membatalkan rayuan yang dikemukakan Thales, anak syarikatnya dan DCNI, khususnya bagi kesahihan carian yang dijalankan sebagai sebahagian daripada siasatan ini. 

Selepas perbicaraan pertama pada 19 April 2022, Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya selama beberapa bulan, meminta maklumat tambahan bertujuan untuk menjelaskan perkara pertikaian hujah dalam siasatan.

Menurut maklumat diperoleh AFP, pejabat pendakwa raya meminta pengesahan prosedur secara bertulis selepas membaca dokumen baru yang diserahkan kepada pasukan penyiasat. 

Isu utama berhubung kes ini ialah kontrak perunding yang dibuat di luar jualan dua kapal selam Scorpene dan sebuah kapal selam Agosta oleh DCNI, bersekutu dengan Thales, dengan harga hampir €1 bilion (RM4.7 bilion) kepada Malaysia pada 2022.

Hakim Perancis mengesyaki sebahagian daripada kontrak ini digunakan sebagai pendahuluan bagi membayar rasuah kepada bekas perdana menteri Najib Razak. 

Najib adalah menteri pertahanan ketika perjanjian itu ditandatangani untuk membeli dua kapal selam Scorpene dan sebuah kapal selam Agosta daripada syarikat Perancis DCN, yang kini sebahagian daripada Thales, dalam perjanjian bernilai AS$1.2 bilion. 

Abdul Razak Baginda yang merupakan orang kuat Najib bertindak sebagai penasihat dalam perjanjian itu. 

Beliau dituduh menerima suapan lebih €114 juta untuk “kerja perunding” oleh sebuah syarikat di mana beliau adalah pemegang saham terbesar.

Wang itu kemudiannya didakwa diberikan kepada Najib, yang berdepan beberapa siri tuduhan rasuah sejak gabungan Barisan Nasional tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018. 

Razak didakwa di Perancis pada 2017, manakala Najib disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).