- Iklan -
Berita

Lelaki lebih ramai bankrap berbanding wanita sejak 5 tahun lalu, kata menteri

Mengikut data yang dikutip dari tahun 2018 hingga 2022 oleh Jabatan Insolvensi mereka yang bankrap akan memerlukan bantuan dana kerajaan untuk memulakan kehidupan yang baru.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said. Gambar: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said. Gambar: Bernama

Golongan lelaki lebih ramai diisytiharkan bankrap dengan 35,856 orang berbanding wanita seramai 13,254 orang sejak lima tahun lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said.

Dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini, katanya, data yang dikutip dari tahun 2018 hingga 2022 oleh Jabatan Insolvensi sangat merisaukan kerana melihat kepada masa depan mereka yang bankrap akan memerlukan bantuan dana kerajaan untuk memulakan kehidupan yang baru.

Atas sebab itu, katanya, Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga perlu melihat strategi dan langkah persediaan untuk membantu masalah tersebut ditangani dalam kadar segera.

Pada awal Februari lalu, Jabatan Insolvensi mendedahkan hutang pinjaman peribadi, sewa beli perniagaan dan pinjaman perniagaan yang gagal dilunaskan menjadi faktor utama menyebabkan rakyat Malaysia jatuh bankrap.

Ianya berdasarkan kepada kira-kira 49,133 kes kebankrapan yang ditadbir oleh jabatan tersebut sejak tahun 2018.

Mengikut statistik, sebanyak 42.24% atau 20,754 kes kebankrapan disebabkan pinjaman peribadi diikuti sewa beli kenderaan 14.39% atau 7,072 kes dan pinjaman perniagaan sebanyak 14.12% atau 6,936 kes.

Pada tahun lalu, sebanyak 5,695 kes kebankrapan ditadbir Jabatan Insolvensi, sedikit penurunan berbanding 6,554 kes yang dicatatkan pada 2021.

Pada 2020, jumlah kes bankrap yang ditadbir jabatan itu adalah 8,351 kes, 12,051 kes pada 2019 dan 16,482 kes pada 2018.

Selain itu, mereka yang berusia antara 35 dan 44 tahun adalah yang paling ramai diisytiharkan bankrap, iaitu 37.5% atau 18,454 orang, diikuti yang berusia 45 hingga 54 tahun sebanyak 25.95% atau 12,752 orang dan 25 hingga 34 tahun iaitu 20.97% atau 10,302 orang.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan mempertikai strategi Jabatan Insolvensi dalam menangani isu tersebut kerana dilihat terlalu menghukum individu gagal membayar hutang khususnya golongan muda.

“Penjenayah rasuah berskala besar dipenjara 10 tahun atau lebih kemudian dibebaskan. Tetapi peminjam berskala kecil libat puluh dan ratusan ribu diisytiharkan bankrap sepanjang hayatnya.

“Ikut rekod, sebanyak 270,300 bankrap sehingga 2020 atau kira-kira 1,000 orang sebulan apabila OPR dinaikkan,” katanya ketika mencelah.

Azalina bersetuju dengan pernyataan tersebut mengatakan memang terdapat golongan masyarakat yang jatuh bankrap kerana menjadi mangsa keadaan.

Mereka itu, katanya, tidak mampu membayar hutang kad kredit, pinjaman kenderaan bahkan pinjaman peribadi untuk belanja perkahwinan.

Atas sebab itu, menurut Azalina, Jabatan Insolvensi aktif memikirkan tentang pendekatan di mana mereka yang menjadi mangsa boleh diberikan pelepasan secara automatik yang dibuat dalam keadaan yang lebih berihsan.

“Contohnya dalam kategori yang lebih umur 70 tahun yang mempunyai masalah kesihatan atau masalah cabaran fizikal.

“Mereka ini semua perlu diambil kira untuk diberikan pelepasan yang betul-betul secara automatik seperti yang berlaku dalam negara-negara di luar.”

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha itu menjadi sukar apabila pihak pemiutang seperti bank masih boleh memberi bantahan kepada proses untuk melepaskan mereka yang bankrap.

“Itu sebabnya Jabatan Insolvensi melihat kepada cara yang lebih automatik dan lebih kepada (cara) perubahan zaman dari segi untuk melepaskan mereka itu.”

Tambahnya, sejak tahun 2018 hingga 2022, sebanyak 87,427 orang sudah dilepaskan daripada status bankrap melalui sijil pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI).