- Iklan -
Berita

Agong sambut baik matlamat jadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi

Perkhidmatan digital perlu terus dipertingkat bagi menyokong usaha tersebut, titah Sultan Abdullah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Dataran Parlimen. Gambar: Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Dataran Parlimen. Gambar: Bernama

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyambut baik matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi melalui usaha pemerkasaan peranan sektor swasta serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

“Bagi menyokong usaha tersebut, penyediaan infrastruktur dan akses kepada perkhidmatan digital perlu terus dipertingkatkan selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional tahun 2030,” titah Al-Sultan Abdullah dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Sultan Abdullah bertitah kerajaan juga sentiasa prihatin akan nasib rakyat ekoran kesan kenaikan kadar inflasi global, kelemahan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat serta fasa pemulihan pasca pandemik Covid-19.

”Dalam hal ini, kerajaan akan terus mengambil langkah untuk meringankan beban kalangan penternak, petani dan pengeluar makanan susulan peningkatan kos pengeluaran yang berterusan agar kelangsungan pengeluaran makanan negara berada pada tahap optimum dan aspek keterjaminan makanan negara kekal pada tahap terbaik."

Sultan Abdullah turut bertitah mengingatkan agar ekosistem industri juga hendaklah sentiasa dikawal selia dan ditambah baik seiring dengan perkembangan semasa.

Selain itu, baginda bertitah bahawa pelan jalinan digital negara telah dibangunkan untuk mempercepat pembangunan infrastruktur digital negara supaya rakyat dapat menikmati peluang yang bakal diwujudkan oleh teknologi tersebut dan seterusnya menyokong agenda pembangunan ekonomi digital negara.

“Pada 2021, ekonomi digital telah menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada keluaran dalam negara kasar dan e-dagang merupakan sektor yang paling pesat berkembang,” titah Sultan Abdullah.