- Iklan -
Berita

Nazri dilantik sebagai duta Malaysia ke AS, umum Wisma Putra

Pelantikan itu dilihat bertentangan dengan dasar PH yang sebelum ini berjanji untuk tidak melantik ahli politik dalam misi diplomatik.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz dilantik sebagai duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat.
Bekas ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz dilantik sebagai duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Bekas ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz dinamakan sebagai duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), menjadi satu-satunya ahli politik daripada beberapa ketua perwakilan diplomatik ke luar negara yang baru dilantik seperti diumumkan Wisma Putra hari ini.

Sejak dua tahun lepas, timbul desas-desus nama beliau dipertimbangkan untuk jawatan duta ke Eropah yang mana ianya tidak menjadi kenyataan.  

Keputusan untuk melantik Nazri dilihat sebagai bertentangan dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini berjanji untuk tidak melantik ahli politik sebagai diplomat ke luar negara.

Turut menerima watikah pelantikan sebagai ketua perwakilan Malaysia ke luar negara yang baru ialah bekas duta ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Syed Md Hasrin Tengku Hussin @ Syed Hussin (Indonesia); bekas duta Malaysia ke Itali, Abdul Malik Melvin Castelino Anthony (Filipina); bekas duta ke Uzbekistan, Hendy Assan (Kota Vatican); bekas konsul jeneral di Australia, Hafizah Abdullah (Sweden); bekas pesuruhjaya tinggi ke Nigeria, Gloria Corina Peter Tiwet (Brazil); Ruzaimi Mohamad (Kenya), Suzilah Mohd Sidek (Republik Czech); Amarjit Singh Sarjit Singh (Timor-Leste) dan ‘Alauddin Mohd Nor (Kuwait).

Pelantikan Syed Hasrin sebagai ketua perwakilan ke Jakarta dianggap sebagai salah satu misi luar negara terpenting Malaysia.

Sebelum ini jawatan tersebut disandang ahli politik di bawah pentadbiran Najib Razak, Zahrain Mohd Hashim, yang kemudiannya berpaling tadah daripada PKR.

Khidmat Zahrain ditamatkan pada 2018 oleh kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad sebelum digantikan dengan diplomat Zainal Abidin Bakar, sekali gus menunaikan janji gabungan itu kepada komuniti diplomatik untuk menamatkan amalan melantik ahli politik sebagai perwakilan Malaysia ke luar negara.

Tahun lepas, kerajaan dikatakan telah membatalkan pelantikan bekas ahli parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman sebagai duta ke Indonesia.

Dilaporkan yang Tajuddin dilantik tidak lama selepas beliau berselisih dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun pelantikan tersebut dikecam komuniti diplomatik, yang mengkritik kerajaan ketika itu kerana mengubah dasar melantik ahli politik pegang jawatan itu.

Sebelum ini, pada September 2021, Nazri mengkritik dasar menghalang ahli politik daripada dilantik sebagai duta ke luar negara.

Katanya langkah melantik ahli politik bagi jawatan diplomatik tidak membahayakan negara berbanding melantik golongan itu untuk menduduki jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan.

“Tapi taulah, PH ni playing to the gallery. Jadi ia menjadi benda yang mudah, dia buatlah piagam mengatakan diplomat tidak boleh dilantik dari kalangan ahli Parlimen,” kata Nazri dalam program temu bual Talk, Now kelolaan MalaysiaNow.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi