- Iklan -
Berita

Ahli politik jadi diplomat kurang bahaya daripada ahli politik pegang GLC, kata Nazri

Ahli Parlimen Padang Rengas berkata dasar Pakatan Harapan yang melarang ahli politik dilantik ke jawatan diplomatik adalah taktik untuk mengelak daripada melaksanakan pembaharuan GLC yang lebih mendesak.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz berkongsi pandangannya mengenai politik negara sewaktu sesi temu bual bersama MalaysiaNow di Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz berkongsi pandangannya mengenai politik negara sewaktu sesi temu bual bersama MalaysiaNow di Kuala Lumpur.

Pemimpin Umno Nazri Aziz berkata peraturan dikenakan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang melarang ahli politik dihantar ke luar negara sebagai duta adalah bagi mengaburi keperluan yang lebih mendesak iaitu menangani budaya melantik ahli politik dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ahli Parlimen dari Umno yang lantang itu berkata langkah melantik ahli politik bagi jawatan diplomatik tidak membahayakan negara berbanding melantik golongan itu untuk menduduki jawatan dalam GLC.

Beliau turut menambah persoalan mengenai duta bukan diplomatik telah dijadikan isu kerana PH mahu “cuba jadi popular”.

“Tapi taulah, PH ni playing to the gallery. Jadi ia menjadi benda yang mudah, dia buatlah piagam mengatakan diplomat tidak boleh dilantik dari kalangan ahli Parlimen,” kata Nazri dalam r program temu bual Talk, Now kelolaan MalaysiaNow.

Minggu lalu, MalaysiaNow memetik beberapa sumber diplomatik yang mengatakan Nazri yang pernah berkhidmat di bawah tiga perdana menteri semasa era Barisan Nasional mungkin akan dilantik sebagai duta di sebuah ibu negara Eropah.

Baru-baru ini, Nazri menyatakan beliau tidak berminat untuk terus berada dalam arena politik selain turut menafikan beliau mengetahui mengenai rancangan pelantikan tersebut, mengatakan beliau tidak dimaklumkan secara rasmi berkenaan perkara tersebut.

Sebarang langkah untuk melantik Nazri ke jawatan diplomatik itu akan menyaksikan percanggahan daripada dasar yang diumumkan pentadbiran PH yang menetapkan hanya diplomat profesional sahaja yang akan dilantik bagi jawatan tersebut.

Bercakap dalam program Talk,Now mengenai pelbagai perkara termasuk pandangannya mengenai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, tokoh yang beberapa kali secara terbuka bertengkar dengannya, Nazri mengatakan pelaksanaan dasar yang melarang ahli politik memegang jawatan GLC adalah lebih utama.

Dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, PH berjanji untuk melantik ketua dan pengarah GLC berdasarkan merit profesional mereka dan bukannya di atas dasar mereka memiliki hubungan dengan parti-parti kerajaan.

Bagaimanapun, gabungan itu dilihat melanggar manifestonya selepas beberapa ahli Parlimen dan ahli politik dari parti kerajaan dilantik untuk mengetuai GLC, termasuk beberapa calon PH yang kalah dalam PRU ke-14 pada 2018.

Pada Mei lalu, badan pemikir Institute For Democracy and Economic Affairs menyenaraikan 25 ahli politik dari DAP, Amanah, PKR dan Bersatu yang diberi jawatan penting dalam GLC dan badan berkanun di bawah pentadbiran kerajaan PH.

Oleh kerana tidak ada dasar rasmi kerajaan mengenai pelantikan jawatan ahli politik dalam GLC, amalan ini kemudian diteruskan di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Nazri berkata, dasar untuk menghentikan ahli politik daripada mengetuai GLC tidak pernah diperkenalkan PH kerana para pemimpinnya mahu memberikan jawatan GLC kepada mereka yang tidak dilantik menganggotai Kabinet.

“Kalau dikatakan pengerusi GLC tak boleh dari kalangan ahli Parlimen, dia punya perangai lagi teruk daripada kita.” kata Nazri.

“Sebab dia nak jaga nangoi-nangoi yang jadi ahli Parlimen, yang menunggu, ‘aku tak jadi menteri takkan GLC pun tak boleh bagi’.”

Nazri juga berkata bahawa ketiadaan dasar mengenai GLC di bawah PH adalah disengajakan.

“PH ingin letak ahli-ahli Parlimennya di pelbagai jawatan, oleh sebab itu mereka ketepikan (larangan ahli politik pegang jawatan dalam GLC) dan buat perkara yang lebih mudah (mengenai pelantikan diplomat),” tambahnya.

Nazri turut mempersoalkan dasar yang melarang ahli politik daripada dilantik untuk menduduki jawatan diplomatik yang mewakili negara.

“Jadi kepada saya, jika kamu diplomat sudah tentu kamu kena kerja, kena jaga negara dan kerajaan. Dan tidak ada ruang sebenarnya seorang diplomat untuk nak cari makan, buat duit, tak ada ruang kerana kerja dia diplomat.

“Jadi kepada saya, lebih bahaya GLC. Yang itu yang patut ada piagam kata tak boleh.”