- Iklan -
Berita

Amanah bincang dengan BN hadapi PRN di 6 negeri

Pengarah Komunikasi Amanah Nasional Khalid Abdul Samad berkata ia 'di peringkat perbincangan'

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pejalan kaki melihat aliran trafik untuk melintas di Tasik Permaisuri, Cheras yang dihisasi bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15, 3 November 2022.
Pejalan kaki melihat aliran trafik untuk melintas di Tasik Permaisuri, Cheras yang dihisasi bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15, 3 November 2022.

Pucuk pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) memberi kebenaran supaya diadakan hubungan serta perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) bagi menentukan pembahagian kerusi di enam negeri yang akan terbabit Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengarah Komunikasi Amanah Nasional Khalid Abdul Samad berkata antara perkara yang akan dibincangkan bersama adalah jumlah kerusi serta calon disenarai sama ada berdasarkan bentuk Kerajaan Perpaduan dan pertandingan dua penjuru atau sebaliknya, tetapi semua itu belum dimuktamadkan.

“Buat masa ini kita berkenalan, berinteraksi, bertemu dan berbincang serta melihat dari segi pendekatan kemungkinan kerusi yang kita boleh bersetuju untuk ditandingi salah satu pihak sama ada PH atau BN,” katanya pada sidang media di Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, Khalid berkata beliau dilantik sebagai Pengerusi Amanah Kelantan bagi tempoh enam bulan untuk menghadapi PRN, berkuat kuasa Januari lepas.

Menurutnya menerusi pelantikan sementara itu, beliau akan bergandingan dengan pengerusi sedia ada Muhammad Husain untuk meningkatkan prestasi parti menghadapi PRN.

“Pengerusi sedia ada tidak dipecat masih kekal, hanya tugas dia diambil alih. Dalam perlembagaan parti memang dibenarkan mengambil alih bagi tempoh enam bulan untuk nak pulihkan, kukuhkan serta bantu pengerusi sedia ada,” katanya.