- Iklan -
Berita

Menjelang PRN, unit propaganda kerajaan ajar pelajar mengundi di sekolah

Bagiamanapun, seorang pegawai menafikan dakwaan yang menyatakan program terbabit berunsurkan politik dengan niat untuk berkempen bagi pihak kerajaan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail petugas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya.
Gambar fail petugas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di beberapa negeri tidak lama lagi, unit propaganda kerajaan, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) menganjurkan program di sekolah untuk mengajar pelajar mengenai proses mengundi.

Program Himpunan Anak Muda anjuran J-KOM dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Baling di Kedah pada 22 Mac lalu yang mana ia menghimpunkan kira-kira 200 pelajar tingkatan enam bawah dari tiga sekolah di daerah Baling.

Pegawai J-KOM yang enggan namanya didedahkan berkata, program itu hanya mensasarkan pelajar tingkatan enam bawah yang berusia 18 tahun, kelompok pengundi baru yang akan pertama kali keluar mengundi pada PRN kali ini.

Katanya, menerusi sesi yang diadakan, pelajar didedahkan dengan fungsi dan peranan SPR, pengurusan pilihan raya serta simulasi proses membuang undi.

"Intipati program kami buat dengan SPR. Kelainan kali ini ialah mempunyai simulasi yang melibatkan penyertaan pelajar supaya mereka faham proses mengundi," katanya kepada MalaysiaNow.

"Ini akan memberi nilai tambah berbanding sekadar menganjurkan ceramah semata-mata untuk menerangkan proses itu."

Tambah beliau, pelajar yang terlibat adalah dari SMK Baling, SMK Kuala Ketil dan SMK Kuala Pegang di Kedah.

Himpunan Anak Muda baru-baru ini menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai terutama di media sosial selepas Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari berkongsikan mengenai butiran program itu di laman Facebook beliau pada Rabu.

Ramai daripada ruangan komen status itu mengecam penganjuran program terbabit dan menganggap ia sebagai usaha menarik sokongan undi daripada pengundi baru menjelang PRN akan datang. 

PRN yang akan diadakan tahun ini melibatkan Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Pada masa sama, pegawai itu menafikan dakwaan yang menyatakan program terbabit berunsurkan politik dengan niat untuk berkempen bagi pihak kerajaan.

Katanya, kebanyakan individu yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap program tersebut kemungkinan besar tidak faham mengenai sesi yang diadakan atau beranggapan ia diselitkan kempen politik.

"Kami daripada jabatan komunikasi ini, kami memang bersama komuniti dalam pelbagai program.

"Cuma kali ini, kami adakan kerjasama dengan SPR dan Jabatan Pendidikan Kedah Negeri untuk masuk ke sekolah.

"Apabila kita sebut komuniti, maka kita kena sentuh (seluruh) komuniti.

"Kita juga pernah buat dengan komuniti di peringkat tempatan, melibatkan pelbagai umur.

“Kita masuk ke kolej matrik, maahad tahfiz, dan kali ini kami pilih sekolah," tambahnya.