- Iklan -
Berita

Sejarah Pulau Pinang-Kedah dari perspektif pakar, penulis

Pandangan pakar mengenai sejarah Pulau Pinang-Kedah menjelang pilihan raya yang akan diadakan di kedua-dua negeri itu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara bangunan Komtar dan Jambatan Pulau Pinang.
Pemandangan dari udara bangunan Komtar dan Jambatan Pulau Pinang.

Status Pulau Pinang sebagai sebuah negeri kini hangat diperkatakan apabila Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor secara terbuka menyatakan pulau mutiara itu milik negerinya.

Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi daripada blok kerajaan, terutamanya disebabkan negeri itu diterajui DAP sejak 2008.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam jawapan kepada Parlimen berkata, kedudukan Pulau Pinang dijamin dalam Perlembagaan menerusi perjanjian-perjanjian antara Raja-Raja Melayu dan British.

Sarjana sejarah sosial dan intelektual dari Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Alam Melayu (Istac) Ahmad Murad Merican berkata, tiada dokumen yang merujuk kepada perjanjian antara Francis Light dengan Sultan Kedah pada 1786.

"Jadi pada 11 Ogos, Francis light menduduki pulau berkenaan secara haram. Apakah keadaan itu (pendudukan Inggeris) dijadikan permulaan naratif Pulau Pinang?

"Ini naratif palsu. Naratif Pulau Pinang wujud sejak awal lagi," katanya kepada MalaysiaNow.

Murad yang menerbitkan buku mengenai topik itu berkata, mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah memerlukan pindaan Perlembagaan.

Dalam buku “Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang”, Murad menyatakan sejarah Pulau Pinang dan Kedah harus dirungkai dari perspektif yang bukan Eurosentrik, atau terlalu memberatkan penjajah Inggeris.

Manakala dalam buku “The Avatar of 1786”, beliau mengkritik “penghasilan semula” Pulau Pinang di bawah kuasa Inggeris dan keperluan untuk menebus semula naratif sejarah Pulau Pinang dan Kedah.

Murad pada 2021 mengkritik kenyataan daripada Penang Heritage Trust yang menyatakan bahawa Siam mempunyai pemilikan terhadap Pulau Pinang.

Dakwaan dengan nada yang sama dibuat oleh pemimpin yang pernah menyertai pelbagai parti politik, Zaid Ibrahim yang menuntut Kedah dipulangkan kepada Siam sebagai reaksi kepada tuntutan Sanusi.

Pada 1956, Umno Pulau Pinang yang ketika itu di bawah Perikatan pernah menghantar memorandum kepada Umno Kedah untuk membatalkan perjanjian tersebut, seterusnya memulangkan Pulau Pinang kepada negeri itu.

Mohd Yusoff Latiff, setiausaha Pemuda Umno ketika itu antara yang terlibat dengan penyerahan memorandum tersebut yang diadakan selepas ada pihak ingin memisahkan Pulau Pinang daripada Semenanjung Tanah Melayu.

"Gerakan menuntut kemerdekaan menjadi ketakutan kepada Penang International Chambers of Commerce yang mewakili kepentingan orang putih. Mereka membuat gerakan ingin mengasingkan Pulau Pinang daripada tanah besar.

"Usul itu dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang namun ia dibantah wakil-wakil Umno pada masa itu," katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Yusoff, usul itu tewas apabila wakil British memilih untuk berkecuali.

Bagaimanapun kini katanya Pulau Pinang sudah menjadi negeri yang “merdeka”.

"Pulau Pinang sudah masuk ke dalam Persekutuan setelah merdeka sebagai satu negeri.

"Jadi jangan ungkit lagi, kita dah merdeka," katanya.

Katanya, kenyataan Sanusi lebih kepada gimik politik, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah dan Pulau Pinang.

Sementara itu, bekas pengarang Utusan Malaysia, Zaini Hassan berkata, isu tersebut sudah berpanjangan dan ia bermula daripada perbincangan ilmiah yang dibangkitkan oleh Persatuan Sejarah Kedah.

"Perdebatan ini akan berlangsung sampai bila-bila, seperti tuntutan Laut China Selatan oleh China. Tetapi dalam kes Pulau Pinang, kerajaan membayar pajakan kepada Kedah walaupun selepas terbentuknya Malaysia.

"Kalau masih bayar pajakan, jadi ia milik siapa?" soalnya apabila dihubungi MalaysiaNow.

Zaini pernah menulis dalam kolumnya di Utusan Malaysia mengenai isu ini pada 2010, kira-kira 13 tahun lalu, ketika isu itu mula-mula dibangkitkan.

Sebelum ini, Umno pada 2017 juga pernah menuntut agar pulau itu dipulangkan kepada Kedah.

Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad menaikkan nilai pajakan kepada RM10 juta setahun yang dibayar Persekutuan kepada kerajaan Kedah.

Nilai asal pajakan ialah sebanyak 10,000 dolar Sepanyol dan ditukar kepada RM10,000 setahun.

Menurut Zaini, tuntutan Sanusi terhadap Pulau Pinang meskipun mempunyai elemen politik, tetapi ada elemen sejarah yang perlu dilihat semula.

Zaini yang juga anak jati Kedah berkata, mana-mana ahli politik tidak perlu menegakkan benang yang basah berhubung pemilikan Pulau Pinang oleh Kedah.

"Kenyataan tetap kenyataan, sejarah tetap sejarah."

Sementara Murad menegaskan, perbincangan mengenai status Pulau Pinang bukan bertujuan mencabar Perlembagaan.

"Ini untuk meluruskan naratif.

“Menafikan naratif yang palsu lalu mengusulkan naratif yang betul," katanya.