- Iklan -
Berita

Bersatu kesal PH-BN guna agensi kerajaan untuk kepentingan politik

Parti itu yakin, rakyat sentiasa sedar mengenai strategi jelek kerajaan PH-BN yang mahu memesong perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan serta amalan nepotisme kerajaan mereka.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama

Bersatu kesal dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menggunakan agensi kerajaan untuk mencapai matlamat politik mereka bagi membunuh kredibiliti parti itu dan Perikatan Nasional (PN) kata Hamzah Zainudin.

Setiausaha agung Bersatu dalam satu kenyataan berkata parti itu yakin, rakyat sentiasa sedar mengenai strategi jelek kerajaan PH-BN yang mahu memesong perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan serta amalan nepotisme kerajaan mereka.

“Bersatu sentiasa tegas dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik.

“Semua ahli Bersatu dan pemimpin semua peringkat diminta bersabar dan terus beristiqamah dalam menghadapi ujian dan fitnah ini,” katanya merujuk pengesahan yang dibuat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berhubung pembekuan beberapa akaun bank milik parti itu bagi tujuan membantu siasatan.

Azam ketika dihubungi Bernama berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Hamzah berkata, Bersatu akan terus memberi kerjasama dalam siasatan ini agar fitnah jahat ke atas parti itu dapat dihentikan segera.

“Para pemimpin dan pegawai parti Bersatu yang diminta memberi keterangan kepada SPRM juga diarahkan agar memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya.