- Iklan -
Berita

Pakar jelaskan faktor keberkesanan slogan PM

Rakyat Malaysia tidak asing dengan slogan-slogan seperti ini kerana diperkenalkan oleh perdana menteri terdahulu sebagai penjenamaan untuk pentadbiran mereka.

Ahmad Mustakim Zulkifli & Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat ‘Membangun Malaysia Madani’ di Putrajaya, 19 Januari. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat ‘Membangun Malaysia Madani’ di Putrajaya, 19 Januari. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini memperkenalkan slogan Malaysia Madani untuk melambangkan pentadbiran beliau yang baru dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Rakyat Malaysia tidak asing dengan slogan-slogan seperti ini kerana diperkenalkan oleh perdana menteri terdahulu sebagai penjenamaan untuk pentadbiran mereka.

Persoalan timbul mengenai apakah indikator dalam menentukan satu-satu slogan itu berjaya atau sekadar kosmetik?

Pakar perhubungan awam dan komunikasi, Syed Arabi Syed Abdullah Idid daripada Universiti Islam Antarabangsa berkata, sukar menentukan kejayaan satu-satu slogan kerana semuanya bersifat abstrak.

"Mungkin satu petanda ialah daripada penerimaan rakyat.

“Dalam keadaan Malaysia, warganegara biasanya terima sahaja slogan-slogan itu," katanya kepada MalaysiaNow.

“Sloganeering” ini bermula semasa perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman dengan “Happy Malaysia”, diikuti “Malaysia Terus Membangun” oleh Abdul Razak Hussein.

Syed Arabi berkata, petanda kedua ialah slogan tersebut menjadi perbincangan para ilmuan atau pertubuhan bukan kerajaan.

"Lebih banyak perbincangan lebih kupasan maka mungkin ia lebih diterima rakyat.

"Tetapi sebagai contoh 1Malaysia, walaupun dikenali ia tidak membawa kemenangan kepada Najib Razak dan Barisan Nasional (BN),” katanya merujuk kepada slogan yang diperkenalkan perdana menteri keenam itu.

Dr Mahathir Mohamad turut memperkenalkan “Bangsa Malaysia” manakala penggantinya Abdullah Ahmad Badawi membawa gagasan “Islam Hadhari”.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sarawak, Jeniri Amir pula berkata, setiap perdana menteri tidak mahu dibayangi oleh pendahulu mereka.

"Jika mereka bergantung kepada slogan atau gagasan pemimpin terdahulu, maka mereka seolah-olah tiada legasi atau 'tiada idea'.

"Jadi mereka mahu wujudkan gagasan idea tersendiri sebagai satu jenama dan satu identiti dalam usaha untuk memberi kesan dari segi politik, sosial dan ekonomi di mata rakyat," katanya.

Dalam menentukan kejayaan sesuatu slogan, pelbagai pengisian perlu dilaksanakan.

"Mahathir mempunyai masa selama 22 tahun untuk membawa bersamanya slogan Bangsa Malaysia berbanding pentadbiran Ismail Sabri dan Muhyiddin Yassin.

"Ia turut disertakan dengan program atau inisiatif tertentu. Bangsa  Malaysia diiringi dengan Wawasan 2020, Dasar Pandang ke Timur dan Industrialisasi Baru."

Slogan 1Malaysia juga katanya lebih melekat di fikiran rakyat kerana inisiatif kerajaan turut membawa slogan itu lengkap dengan logonya. 

Antaranya, Bantuan Rakyat 1Malaysia yang dijenamakan semula dengan pelbagai nama, Kedai Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia dan Skim Latihan 1Malaysia. Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) juga menampilkan logo 1Malaysia.

Tambah beliau, gagasan yang kekal abstrak “Islam Hadhari” dan “Keluarga Malaysia” masing-masing oleh Abdullah dan Ismail Sabri Yaakob.

"Abdullah tidak menterjemahkan slogannya kepada bentuk yang lebih konkrit manakala Ismail tidak mempunyai masa."

Ismail merupakan perdana menteri yang paling singkat berkhidmat dengan tempoh masa setahun tiga bulan.

Jeniri berkata, setiap gagasan berkubur begitu sahaja apabila kepimpinan berubah.

Sehingga kini, Anwar menerusi Malaysia Madani menjenamakan semula bantuan tunai yang dipanggil Sumbangan Tunai Rahmah. Beliau juga memperkenalkan semula Menu Rakyat 1Malaysia kepada Menu Rahmah.

Rahmah menjadi “catchphrase” pilihan pentadbiran perdana menteri ke-10 itu.

Ia boleh dilihat sebagai kesinambungan daripada gagasan “rahmatan lil alamin” yang pernah dipopularkan bekas menteri agama Pakatan Harapan, Mujahid Yusof Rawa.

Pada masa sama, memandangkan Malaysia Madani dan Islam Hadhari masing-masing menggunakan penggunaan istilah daripada bahasa Arab, konsep yang diperkenalkan ini dilihat menggunakan pendekatan berbeza.

Misalnya, konsep Hadhari yang diperkenalkan pada 2004 lebih tertumpu kepada usaha mengembangkan fahaman Islam dengan menggunakan peranan agama ini dalam membangunkan negara berasaskan tamadun Islam berbanding melihat Islam sekadar dari perspektif amal ibadat dan hukum.

Malah, konsep yang diperkenalkan Abdullah itu turut mempunyai kesinambungan kepada hala tuju yang ditetapkan oleh pemimpin sebelumnya, Mahathir  iaitu menuju ke arah Wawasan 2020.

Sementara itu, istilah madani tidaklah begitu asing bagi mereka yang mengikuti perkembangan politik Anwar sejak 1990-an ketika beliau masih bersama Umno pada ketika itu.

Kini, konsep itu diperkenalkan semula sebagai satu wawasan baru yang mengetengahkan ciri moral dan kenegaraan menggunakan gaya pemikiran Islam demi mencapai kemajuan negara dan kesejahteraan.