- Iklan -
Berita

Jangan heret nepotisme PKR ke dalam kerajaan, kata Hamzah

Hamzah mengingatkan Anwar bahawa pelantikan Nurul Izzah secara pro bono tidak menghalalkan amalan nepotisme.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim dan anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar.
Anwar Ibrahim dan anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar.

Anwar Ibrahim perlu menarik balik pelantikan anak perempuannya sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan, kata Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin sambil menyifatkan tindakan itu sama seperti amalan nepotisme yang wujud dalam parti dipimpin perdana menteri itu.

“Perdana menteri perlu menarik balik pelantikan ini. Nepotisme dalam PKR tidak boleh diheret sama ke dalam pentadbiran kerajaan. 

“‘Walk the talk please’," kata Hamzahdalam satu kenyataan, sambil menambah berita Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada bapanya mendapat kecaman pelbagai pihak. 

Hamzah mengingatkan Anwar bahawa pelantikan Nurul Izzah secara pro bono tidak menghalalkan amalan nepotisme, sambil berkata pembelaan perdana menteri terhadap pelantikan anak perempuannya itu sesuatu yang memalukan.

Hamzah Zainuddin.

“Ternyata Malaysia Madani hanyalah retorik kosong kerana keutamaan perdana menteri nampaknya tertumpu kepada ahli keluarga sendiri berbanding menyelesaikan isu kos sara hidup, menangani cabaran ekonomi serta meneroka pasaran baharu untuk Malaysia,” tambahnya. 

Beliau seterusnya mengingatkan Anwar, Hassan Marican, sudah dinamakan untuk mengetuai pasukan penasihat kepada perdana menteri.

Nurul Izzah, yang tewas di kerusi Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, mendedahkan pelantikannya berkuat kuasa pada 3 Januari lalu. 

Beliau berkata pengalamannya sebagai ahli Parlimen akan digunakan sebaik mungkin untuk melakukan libat urus dengan "pakar dalam mengemudi tadbir urus ekonomi, akauntabiliti dan dasar negara".

Nurul Izzah juga berkata beliau sibuk bertemu dengan kumpulan perniagaan dan pihak berkepentingan sebagai sebahagian daripada persediaan untuk belanjawan akan datang yang akan dibentangkan oleh bapanya.

Dalam pada itu, Anwar mempertahankan pelantikan itu dengan berkata Nurul Izzah layak untuk memegang jawatan tersebut walaupun tidak mempunyai latar belakang ekonomi. 

“Saya pun tiada kelulusan berkaitan kewangan tetapi saya pernah jadi menteri kewangan selama lapan tahun (pada 1990-an),” katanya.