- Iklan -
Berita

Pendidikan prasekolah semakin kompetitif, apakah impak terhadap kanak-kanak?

Meskipun pendidikan prasekolah bersifat tidak formal, ia penting bagi menyediakan murid sebelum memasuki alam persekolahan formal.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Prasekolah perlu memberi ruang kepada anak-anak untuk bersosial bersama rakan-rakan seusia mereka. Ujian atau peperiksaan boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesejahteraan murid dan emosi mereka.
Prasekolah perlu memberi ruang kepada anak-anak untuk bersosial bersama rakan-rakan seusia mereka. Ujian atau peperiksaan boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesejahteraan murid dan emosi mereka.

Persaingan untuk mendapatkan tempat terbaik dalam institusi pendidikan negara kini bukan hanya membabitkan peringkat sekolah rendah dan menengah atau pengajian tinggi, malah pada peringkat prasekolah.

Meskipun prasekolah bersifat tidak formal, ia penting bagi menyediakan murid sebelum memasuki alam persekolahan formal.

Situasi itu dapat dilihat ekoran keinginan ibu bapa untuk memasukkan anak-anak ke sekolah swasta selain sekolah kebangsaan yang mana ujian akan disediakan bagi kemasukan murid-murid darjah satu.

Namun persoalan timbul mengenai apakah impak kokurikulum yang semakin tinggi dengan aspek kompetitif turut dimasukkan dalam sistem prasekolah terhadap tumbesaran anak-anak?

Bekas pengerusi Pusat Kajian Kepimpinan dan Polisi Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Azlin Norhaini Mansor mengakui jangkaan terhadap kanak-kanak menjadi lebih tinggi pada zaman sekarang.

"Zaman berubah, keperluan dan jangkaan aspek pengetahuan dan kemahiran juga meningkat bagi menyediakan kanak-kanak dengan kehidupan alam persekolahan dan kerjaya masa depan,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Namun tidak adil kepada kanak-kanak sekiranya kita tidak memberikan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk menghadapi dunia mereka yang pastinya berbeza dengan dunia sekarang.”

Pendidikan prasekolah di Malaysia bergantung kepada institusi swasta memandangkan sekolah tadika yang disediakan kerajaan tidak mencukupi bagi menampung jumlah kanak-kanak.

Azlin berkata, ujian dan penilaian yang perlu dilalui kanak-kanak bertujuan mengenal pasti tahap kesediaan pembelajaran bagi membolehkan organisasi berkenaan menyediakan program yang bersesuaian.

Pakar psikologi kanak-kanak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Suriati Sidek bagaimanapun tidak bersetuju dengan ujian kemasukan atau penilaian yang dibuat terhadap kanak-kanak di bawah umur enam tahun.

"Kajian menunjukkan pada lingkungan usia ini, kanak-kanak sedang berada pada fasa meneroka, memahami dan mengenal dunia dengan bermain.

"Bermain adalah fitrah dan aktiviti rutin yang tidak dapat dipisahkan dengan kanak-kanak," katanya.

Oleh itu, ujian atau peperiksaan boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesejahteraan murid dan emosi mereka.

"Apabila diberitahu adanya ujian atau penilaian, ibu bapa akan secara tidak langsung ‘memaksa’ anak-anak kecil ini untuk belajar demi mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, ataupun untuk melepasi kelayakan," katanya.

Antara lain, Suriati berkata situasi itu berpotensi mengakibatkan kanak-kanak berasa tertekan dan bimbang dimarahi ibu bapa jika keputusan ujian tidak seperti yang diharapkan. 

Kanak-kanak juga cenderung mempunyai persepsi negatif terhadap proses pembelajaran yang patut menjadi perkara yang menyeronokkan bagi mereka.

Hal ini turut dipersetujui oleh pakar pendidikan daripada UKM, Anuar Ahmad berkata prasekolah tidak wajar dijadikan institusi yang membebankan murid.

"Prasekolah perlu memberi ruang kepada anak-anak untuk bermain dan beraktiviti. Mereka dapat bersosial bersama rakan-rakan.

"Jika prasekolah terlalu fokus kepada akademik serta mengadakan ujian, ia sebenarnya tidak baik untuk perkembangan anak-anak," tambahnya.

Menurut Anuar, tiada keperluan elemen latih tubi atau memaksa kanak-kanak belajar secara berlebihan ketika peringkat prasekolah.

Dalam pada itu, Azlin berkata strategi pembelajaran perlu ditambah baik dengan konsep pembelajaran yang menyeronokkan.

"Tenaga kerja perlu dimantapkan.

“Kualiti prasarana dan bahan pembelajaran juga wajib dipertingkatkan."