- Iklan -
Berita

Tindakan tarik balik permohonan semakan kes Batu Puteh tak wajar, kata peguam negara

Katanya, Laporan Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-undang berkaitan kes itu dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Januari lepas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam Negara Idris Harun. Gambar: Bernama
Peguam Negara Idris Harun. Gambar: Bernama

Tindakan menarik balik dua permohonan semakan terhadap keputusan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah tidak teratur dan tidak wajar, kata Peguam Negara Idrus Harun.

Menerusi kenyataan media hari ini, Idrus berkata Laporan Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-undang berkaitan kes itu dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Januari lepas.

“Berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 11 Januari tersebut, kerajaan berpendapat bahawa tindakan untuk menarik balik kedua-dua Permohonan Semakan ke atas keputusan kes Sovereignty over Pedra Branca/Pulau Batu Puteh, Middle Rocks/Batuan Tengah and South Ledge/Tubir Selatan (Malaysia/Singapura) dan Permintaan Tafsiran ke atas keputusan yang sama adalah tidak teratur dan tidak wajar,” katanya.

Bagaimanapun, Idrus berkata kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap kes itu yang diputuskan pada 23 Mei 2008. 

"Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji syor-syor yang dibuat oleh Pasukan Petugas Khas itu termasuk isu berkaitan dengan tort misfeasans (tort of misfeasance in public office) dan akan mengambil tindakan yang perlu bagi melaksanakan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri. 

"Isu Batu Puteh merupakan isu yang sangat penting kerana ia melibatkan kepentingan strategik dan kedaulatan negara. Dalam hal ini, kerajaan akan terus memastikan kepentingan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara," kata Idrus.

Pada 3 Februari 2017, kerajaan Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ pada 23 Mei 2008 yang memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Batu Puteh manakala Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah. 

Bagaimanapun pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan tersebut sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018 di ICJ.

Pada 14 Disember lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu isu tuntutan Batu Puteh dikaji semula supaya rundingan segera dan lebih bermakna dapat diadakan dengan Singapura.