- Iklan -
Berita

Najib berpeluang bebas dengan jaminan, kata peguam

Terdapat dua kemungkinan iaitu sama ada kes akan dibicarakan semula di Mahkamah Persekutuan atau kembali ke peringkat Mahkamah Tinggi.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam Muhammad Shafee Abdullah.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Bekas perdana menteri Najib Razak mempunyai peluang untuk dibebaskan dengan jaminan sekiranya Mahkamah Persekutuan menerima permohonan untuk menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya, kata peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Menurut Shafee, jika mahkamah menerima permohonan itu, maka dijangka akan berlaku dua kemungkinan, pertama ialah kes itu akan dibicarakan semula di Mahkamah Persekutuan dan ini dijangka menjadi antara peluang tertinggi.

"Tetapi sekiranya mereka (panel hakim) bersetuju mengenai Hakim Nazlan (Mohd Nazlan Mohd Ghazali) dan kelayakannya, mereka mungkin akan arahkan kes ini kembali ke peringkat Mahkamah Tinggi," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

"Ini supaya kes ini dibicarakan dari mula."

Ketika ditanya sama ada Najib berpotensi dibebaskan dengan jaminan, Shafee berkata ia juga salah satu kemungkinan yang akan berlaku.

"Ya. Di Mahkamah Tinggi beliau diikat jamin. Jadi dia akan dapat ikat jamin yang sama.

"Jika beliau ke Mahkamah Persekutuan, beliau akan dapat diikat jamin ketika menunggu keputusan," katanya sambil menyifatkan kedua-dua situasi adalah sama.

Najib yang juga bekas ahli Parlimen Pekan pada 28 Julai 2020 dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hukuman itu dikekalkan selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib sebelum ia dimuktamadkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu menerusi panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan itu menerusi panel lima hakim baharu yang diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli.

Turut menyertai panel itu ialah tiga Hakim Persekutuan, Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Hakim Mahkamah Rayuan, Abu Bakar Jais.

Dalam pada itu, Shafee turut meluahkan keyakinan terhadap kes yang sedang dihadapi Najib sejak ia mula dibicarakan.

"Sudah tentu aliran kes ini berubah, daripada merit kes ini yang mana saya sangat yakin kemudian saya kecewa.

"Kini ia sedang disemak dan ia berasaskan sebab yang sangat bagus," katanya.

Proses pendengaran permohonan Najib hari ini ditangguhkan dan akan disambung pada 20 Februari depan.