- Iklan -
Berita

Isytihar aset perlu lebih bertanggungjawab, bukan gimik politik, kata PM

Pengisytiharan aset dilihat tidak mencerminkan kekayaan sebenar seseorang itu, selepas dilihat kepada angka dan fail yang ada.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercakap kepada wartawan pada sidang media di Putrajaya, 17 Januari. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercakap kepada wartawan pada sidang media di Putrajaya, 17 Januari. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pengisytiharan aset oleh menteri Kabinet perlu dibuat dengan cara yang bertanggungjawab dan telus, dan bukan sekadar ‘gimik politik’.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata beliau sedang berbincang dengan pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjadikan proses pengisytiharan aset itu lebih telus.

"Pada masa lepas saya melihat pengisytiharan aset ini umpama ‘sandiwara’. Anda boleh lihat ada individu yang mempunyai ratusan juta ringgit, namun masih mengisytiharkan pemilikan RM11 juta atau RM12 juta sahaja. Jadi saya fikir apa yang perlu kita lakukan ialah memastikan adanya parameter jelas," katanya.

Beliau yang menyifatkan ia sebagai memeranjatkan berkata, beberapa pengisytiharan dilihat tidak mencerminkan kekayaan sebenar seseorang itu, selepas dilihat kepada angka dan fail yang ada.

Anwar berkata demikian dalam persidangan media selepas menghadiri Majlis Dialog Bajet 2023 dengan tema ‘Membangun Malaysia Madani’ di Putrajaya hari ini, semasa ditanya sama ada menteri-menteri Kabinet telah mengisytiharkan aset mereka, dan bila ia akan didedahkan kepada umum.

Ditanya mengenai perkembangan subsidi bersasar, Anwar berkata tindakan sudah diambil, contohnya tarif elektrik bersasar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, pertanian serta industri kecil dan sederhana (IKS).

"Sudah ada tindakan (subsidi bersasar) walaupun pentadbiran dahulu kata naik tarif tapi kita batal cadangan itu dan guna pendekatan baharu. Kali ini kita serius melihat kepada laporan Ketua Audit Negara tentang ketirisan dan kenal pasti masalah supaya dapat penyelesaian," katanya.