- Iklan -
Berita

Sabah, Sarawak kini berstatus wilayah, bukan lagi negeri, kata TPM

Pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur menjadikan kedudukan wilayah Sabah dan Sarawak menjadi lebih strategik untuk dibangunkan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata wilayah Sabah dan Sarawak menjadi lebih strategik untuk dibangunkan selepas Indonesia memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata wilayah Sabah dan Sarawak menjadi lebih strategik untuk dibangunkan selepas Indonesia memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan.

Kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri sebaliknya wilayah, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur menjadikan kedudukan wilayah Sabah dan Sarawak menjadi lebih strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan baharu.

“Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini mempunyai obligasi perundangan dan moral yang cukup besar terhadap Sabah dan juga Sarawak,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata demikian dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini. Ia dihadiri 2,820 perwakilan. 

Sehubungan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilaksanakan segera.

“Walaupun ada beberapa perkara pokok yang dilaksanakan, masih banyak perkara  yang menjadi asas kepada MA63 perlu diterjemahkan pelaksanaannya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata limpahan pembangunan di Kalimantan perlu digarap segera agar Sabah dan Sarawak lebih pesat membangun.

“Sejak 1963, Sabah dan Sarawak banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dan kini adalah masa terbaik untuk kita sama-sama memajukan Sabah dan Sarawak, seiring dengan perkembangan di keseluruhan kepulauan Borneo termasuk Kalimantan, Indonesia,” katanya.

Pada 4 Januari lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pemimpin sekarang perlu mempunyai tekad untuk mempertahankan semangat Malaysia dalam MA63 selain menghormati perjanjian itu yang merupakan keputusan serta cerminan kebijaksanaan kepimpinan terdahulu. 

Anwar turut mengumumkan jumlah peruntukan bagi geran khas kepada Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan harus dikaji setiap lima tahun agar jumlahnya lebih munasabah selain bersetuju supaya pelaksanaan mana-mana projek dengan kos di bawah RM50 juta di kedua-dua negeri diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan perlu mematuhi peraturan kewangan.