- Iklan -
Berita

Kerajaan boleh henti eksport minyak sawit ke Eropah susulan sekatan terbaru

EU ialah pengimport minyak sawit utama dan undang-undang yang dipersetujui pada Disember, menimbulkan bantahan daripada pengeluar utama, Indonesia dan Malaysia.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis alam sekitar menyalahkan industri minyak sawit susulan aktiviti penebangan hutan hujan Asia Tenggara secara berleluasa.
Aktivis alam sekitar menyalahkan industri minyak sawit susulan aktiviti penebangan hutan hujan Asia Tenggara secara berleluasa.

Kerajaan boleh menghentikan pengeksportan minyak sawit ke Kesatuan Eropah (EU) sebagai tindak balas terhadap penguatkuasaan undang-undang terbaru EU yang mahu melindungi hutan dengan mengawal ketat penjualan produk itu.

Menteri Komoditi Fadillah Yusof berkata Malaysia dan Indonesia akan membincangkan undang-undang melarang penjualan minyak sawit dan komoditi lain yang dikaitkan dengan penebangan hutan melainkan pengimport boleh menunjukkan pengeluaran barangan khusus mereka tidak merosakkan hutan. 

EU ialah pengimport minyak sawit utama dan undang-undang yang dipersetujui pada Disember, menimbulkan bantahan daripada pengeluar utama, Indonesia dan Malaysia. 

"Jika kita perlu melibatkan pakar dari luar negara untuk menentang apa sahaja langkah EU, kita perlu melakukannya," kata Fadillah kepada pemberita. 

"Atau pilihannya yang ada ialah kita hentikan sahaja eksport ke Eropah, hanya fokus pada negara lain jika mereka (EU) menyukarkan kita untuk mengeksport kepada mereka."

Aktivis alam sekitar menyalahkan industri minyak sawit susulan aktiviti penebangan hutan hujan Asia Tenggara secara berleluasa, walaupun Indonesia dan Malaysia mewujudkan piawaian pensijilan kemampanan yang diwajibkan untuk semua ladang. 

Fadillah, yang juga timbalan perdana menteri, menggesa ahli Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) bekerjasama menentang undang-undang baharu dan memerangi "dakwaan tidak berasas" daripada EU dan AS mengenai kelestarian minyak sawit. 

CPOPC, yang diketuai oleh Indonesia dan Malaysia, menuduh EU sebelum ini secara tidak adil menyasarkan minyak sawit. 

Mengulas kenyataan Fadillah, duta EU ke Malaysia berkata ia tidak mengharamkan sebarang import minyak sawit dari negara itu dan menafikan undang-undang penebangan hutannya mewujudkan halangan kepada eksport Malaysia. 

"(Undang-undang) terpakai sama rata kepada komoditi yang dikeluarkan di mana-mana negara, termasuk anggota EU bertujuan untuk memastikan pengeluaran komoditi tidak mendorong kepada penebangan hutan dan degradasi hutan akan datang," kata duta EU Michalis Rokas kepada Reuters.

Rokas berkata, beliau berhasrat untuk bertemu Fadillah dalam masa terdekat bagi meredakan kebimbangan Malaysia. 

Permintaan EU untuk minyak sawit dijangka menurun dengan ketara dalam tempoh 10 tahun akan datang walaupun sebelum undang-undang baharu itu dipersetujui. 

Pada 2018, arahan tenaga boleh diperbaharui EU memerlukan pemansuhan bahan api pengangkutan berasaskan kelapa sawit menjelang 2030 kerana anggapan mereka mempunyai kaitan dengan penebangan hutan. 

Indonesia dan Malaysia melancarkan kes berasingan dengan WTO, sambil mengatakan langkah bahan api itu adalah diskriminasi dan menjadi halangan perdagangan. 

Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim minggu ini bersetuju untuk "melawan diskriminasi terhadap minyak sawit" dan mengukuhkan kerjasama melalui CPOPC. 

Menurut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia, EU ialah pengguna minyak sawit ketiga terbesar di dunia. 

Kesatuan itu menyumbang 9.4% daripada eksport minyak sawit dari Malaysia, sebanyak 1.47 juta tan pada 2022, turun 10.5% daripada tahun sebelumnya.