- Iklan -
Berita

Kerajaan hormati, tidak campur tangan kes mahkamah libat Zahid, kata Fadillah

Fadillah Yusof berkata kerajaan menghormati proses perundangan dan pengasingan kuasa antara badan kehakiman, eksekutif dan perundangan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas mahkamah menggugurkan pertuduhan rasuah terhadapnya, 4 September. Gambar: Reuters
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas mahkamah menggugurkan pertuduhan rasuah terhadapnya, 4 September. Gambar: Reuters

Kerajaan tidak campur tangan dan menghormati proses perundangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, dalam kes pecah amanah melibatkan Yayasan Akalbudi.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata selain percaya kepada proses pengasingan kuasa antara Parlimen, eksekutif dan badan kehakiman, beliau yakin keputusan dibuat itu berdasarkan fakta yang kukuh.

“Jadi bagi saya biarlah proses perundangan itu berjalan dengan baik dan kita hormatilah.

“Kita tidak akan campur tangan, terserahlah kepada pihak Pejabat Peguam Negara untuk menilai apa tindakan seterusnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di Subang.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah semalam melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB, selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

Mengulas lanjut Fadillah berkata semua pihak seharusnya menghormati keputusan mahkamah, selepas proses sepatutnya sebagaimana yang termaktub dalam sistem perundangan dilalui.

“Saya rasa selain yang ini, banyak keputusan lepas juga menjadi keputusan yang kontroversi tapi bagi saya itu hak mutlak mahkamah, jadi sebaiknya kita hormatilah,” katanya.