- Iklan -
Berita

Kerajaan teliti hukuman gantian bagi mati mandatori

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ramkarpal Singh berkata syor jawatankuasa khas, sesi libat urus agensi kerajaan berkaitan serta pihak organisasi masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan akan dikaji.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang aktivis memegang plakad membantah hukuman mati Singapura terhadap pesalah bilik akhir warga Malaysia di Kuala Lumpur pada 3 November 2022. Gambar: AFP
Seorang aktivis memegang plakad membantah hukuman mati Singapura terhadap pesalah bilik akhir warga Malaysia di Kuala Lumpur pada 3 November 2022. Gambar: AFP

Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif untuk meneliti dan mengkaji semula cadangan serta pandangan yang telah dikemukakan sebelum ini berkaitan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata ini termasuk syor jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara Richard Malanjum, sesi libat urus agensi kerajaan berkaitan serta pihak organisasi masyarakat sivil (CSO) dan badan bukan kerajaan (NGO). 

Beliau berkata cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori yang sedang diteliti hendaklah mengambil kira kedudukan semua pihak yang terlibat demi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta kedaulatan undang- undang (rule of law) sentiasa diberi keutamaan.

“Proses ini perlu menitikberatkan aspek perundangan, oleh itu pindaan undang-undang yang berkaitan akan dimuktamadkan dengan segera memandangkan pindaan-pindaan ini dijadualkan untuk dibentang di Dewan Rakyat pada persidangan yang akan datang”, katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah semasa Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023 telah menggesa kerajaan mengambil langkah sewajarnya supaya kira-kira 1,327  banduan hukuman mati dikecualikan daripada hukuman  tersebut selepas hukuman mati mandatori bagi pelbagai kesalahan dimansuhkan.

Ramkarpal berkata sebelum ini, sebanyak tujuh rang undang-undang (RUU) berkaitan pindaan akta pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori telah dibentangkan oleh bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang- Undang) di Dewan Rakyat pada 6 Oktober tahun lalu.

Beliau berkata sebarang pindaan perlu dibentangkan semula pada sidang Parlimen yang akan datang berikutan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022.  

“Kerajaan Perpaduan sentiasa komited terhadap pemansuhan hukuman mati mandatori dan yakin penyelesaian yang terbaik akan dilaksanakan terhadap 1,327 banduan hukuman mati demi memastikan kepentingan semua pihak akan diambil kira,” katanya.