- Iklan -
Berita

Shafee yakin dengan petisyen Najib kepada badan PBB

Peguam berkata petisyen yang dihantar oleh Najib Razak berbeza dengan petisyen yang dikemukakan oleh Anwar Ibrahim pada 2015.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri Najib Razak bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri Najib Razak bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Peguam Najib Razak berkata petisyen yang dibuat bekas perdana menteri itu dalam usahanya mendapatkan kebebasan melalui campur tangan badan PBB berbeza dengan apa yang pernah dilakukan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim kira-kira tujuh tahun lalu, di mana keputusan badan dunia itu ditolak oleh kerajaan yang diterajui oleh Najib ketika itu.

Bercakap kepada MalaysiaNow di luar sidang media berhubung petisyen Najib kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penahanan Sewenang-wenangnya (UNWGAD), Shafee berkata prosedur yang dibuat oleh Anwar tidak lengkap.

Pada 2015, UNWGAD berkata pemenjaraan Anwar adalah "sewenang-wenangnya dan tidak sah" dan menggesa supaya beliau dibebaskan.

Namun, Putrajaya menyifatkan gesaan itu sebagai tidak berasas, mengatakan bahawa pemenjaraan Anwar bukan bersifat politik dan beliau diberi layanan yang sama seperti banduan lain.

"Selepas perbicaraan yang adil dan panjang selama enam tahun setengah, beliau disabitkan atas kesalahan itu.

“Anwar kini sedang menjalani hukuman di penjara, bukan pengasingan, dan sedang diberikan kemudahan dan rawatan perubatan yang sewajarnya.

"Oleh itu, pendapat UNWGAD yang menggesa agar Anwar dibebaskan segera adalah tidak berasas," kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Shafee berkata dalam kes Anwar ada perkara yang “lucu”, dan atas sebab itu, saranan dan pandangan UNWGAD tidak perlu dipatuhi atau diikuti di sisi undang-undang. 

Berbeza dengan Najib, katanya, pandangan oleh badan antarabangsa itu boleh digunakan oleh kerajaan melalui Kabinet. 

"Kerajaan boleh dinasihatkan melalui mesyuarat Kabinet. 

"Peguam negara juga boleh nasihat sama ada untuk dibebaskan atau diberi perbicaraan semula," katanya kepada MalaysiaNow. 

Terdahulu, Shafee mengumumkan Najib yang kini sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara memohon panel UNWGAD, yang terdiri daripada lima pakar keadilan antarabangsa memohon pembebasan atau perbicaraan semula, menyifatkan perbicaraan rayuan Mahkamah Persekutuan tahun lepas "mempunyai kecacatan serius dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa".

Ketika ditanya, sama ada dengan dia menghantar petisyen akan memberikan peluang lebih cerah kepada Najib untuk dibebaskan, Shafee berkata bukan sahaja dibebaskan tetapi kedua-duanya. 

"Bebas dan perbicaraan semula. 

"Jadi jika tanya saya, adakah ianya remedi yang berkesan? Ya." 

Mengulas lanjut, Shafee berkata UNWGAD tidak boleh menolak daripada membaca dan menyemak petisyen yang dihantar bersama-sama dengan dokumen yang disertakan. 

Bagaimanapun, mereka boleh memberikan ulasan dan pandangan mengapa sesuatu kes itu tidak perlu dilanjutkan atau diberi perbicaraan semula. 

Katanya, beliau juga membayangkan badan itu akan memberi maklum balas dalam tempoh masa yang singkat memandangkan dokumen-dokumen yang dihantar sudah pun diterima pada hari ini, sekitar tengah hari tadi. 

Menurut Shafee, panel lima pakar perundangan dan keadilan itu bersidang sebanyak tiga kali setahun. 

Bagi persidangan kali pertama tahun 2023 dijangka berlaku dalam masa terdekat.

Ini bermakna, katanya, mereka sedang memproses dokumen-dokumen tersebut. 

Sekiranya sudah mencapai keputusan, maklumbalas itu akan dihantar kepada kerajaan Malaysia melalui pegawai-pegawai diplomatik, kebiasaannya di Wisma Putra. 

"Ianya dalam masa beberapa bulan, tengoklah berapa cepat mereka buat keputusan."