- Iklan -
Berita

PBS, STAR kekal sokong Hajiji sebagai ketua menteri Sabah

Mereka berkata tiada keperluan untuk mengemukakan usul undi percaya di Dewan Undangan Negeri Sabah terhadap pengerusi Gabungan Rakyat Sabah itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Semua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) hari ini menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor untuk terus mengetuai pentadbiran kerajaan negeri.

Timbalan Presiden PBS Joachim Gunsalam berkata parti itu termasuk Adun mereka masih kekal menyokong Hajiji dan melihat tiada keperluan untuk mengemukakan usul undi percaya di Dewan Undangan Negeri Sabah terhadap pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu.

"Saya pasti 110% PBS masih menyokong kepimpinan Hajiji Noor (sebagai ketua menteri Sabah). Saya fikir tiada keperluan (mengemukakan usul undi percaya terhadap Hajiji) tetapi jika ia diperlukan saya percaya kami akan menang,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut hari ini.

Timbalan ketua menteri Sabah itu berkata demikian selepas majlis penyampaian kepala singa sempena Tahun Baru Cina kepada pelbagai persatuan dan tokong di negeri ini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun berkata GRS bersedia membuktikan keabsahan sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri susulan difahamkan ada pihak tertentu mendakwa memperoleh lebih separuh sokongan daripada Adun untuk membolehkan kumpulan itu menubuhkan kerajaan negeri baharu.

Pada majlis sama Timbalan Presiden STAR Ellron Angin turut menyatakan pendirian bahawa Adun mereka tetap setia menyokong kepimpinan Hajiji. 

"Bagi STAR, semua Adun kami menyokong Datuk Hajiji. Kami setia kepada beliau,” katanya.

PBS dan STAR merupakan antara parti komponen di bawah GRS selain Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

DUN Sabah mempunyai 79 Adun iaitu 73 Adun yang dipilih dan enam Adun dilantik.

Ketika ini Hajiji mempunyai sokongan 59 Adun iaitu 29 daripada GRS, Barisan Nasional (17), PH (7), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (3), Parti Bangsa Malaysia (1), Parti Harapan Rakyat Sabah (1) dan seorang Adun Bebas.