- Iklan -
Berita

Johari perlu jumpa Anwar, bincang masalah Kampung Sungai Baru

Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu mendakwa pengambilalihan tanah dibuat tanpa persetujuan penduduk yang terlibat.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara kejiranan Kampung Baru yang dilatari bangunan pencakar langit dan moden di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Pemandangan udara kejiranan Kampung Baru yang dilatari bangunan pencakar langit dan moden di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani digesa bertemu perdana menteri, Anwar Ibrahim berhubung nasib penduduk Kampung Sungai Baru yang menerima notis pengusiran pada 19 Disember lalu.

Naib Yang di-Pertua Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Samsuri Suradi berkata, pengambilalihan tanah yang dibuat tanpa persetujuan semua penduduk.

"Mengapa pihak berkuasa gunakan undang-undang bagi pihak pemaju? Adakah mereka bersekongkol?" katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, penduduk kini tidak mempunyai suara dan sangat memerlukan wakil rakyat bagi bertemu dengan kerajaan dan pemaju.

Kampung Sungai Baru merupakan sebahagian daripada Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah ibu kota. 

Johari pula dalam satu kenyataan kepada sebuah portal berkata penduduk perlu diberi masa enam bulan untuk mengosongkan rumah. 

Seramai 90 penduduk diberikan notis mengosongkan rumah dalam tempoh 30 hari oleh Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan penduduk di Kampung Sungai Baru tidak berpuas hati ekoran tawaran nilai oleh kerajaan. 

Ini kerana penilai swasta memberikan harga yang berbeza dengan Pejabat Tanah dan Galian. 

Samsuri berkata, pihak pemaju mungkin merasakan mudah untuk mengambil tanah di Kampung Sungai Baru namun tanah di bawah MAS tidak boleh diberikan kepada bukan Melayu dengan mudah.

"Jadi mungkin mereka fikir, mengapa tidak ambil alih tanah Sungai Baru dahulu. Kampung Baru akan menyusul kemudian," katanya. 

Perbadanan Kampung Baru dalam satu kenyataan Jun memaklumkan, seramai 219 pemilik unit membabitkan 27 lot teres dan 192 unit flat bersetuju menandatangani perjanjian usaha sama. 

Manakala status pengambilan tanah untuk 37 lot teres masih tertangguh.

Isu pembangunan Kampung Baru menjadi isu utama di Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila calon-calon kerusi itu, Johari dan Khalid Samad yang juga bekas menteri wilayah persekutuan saling tuduh-menuduh.

Dalam pada itu MAS berkata pertemuan dengan perdana menteri penting untuk mengelakkan situasi “bangau oh bangau” yang mana semua pihak melepas tangan sehingga memangsakan penduduk.

"Khalid hendak ambil kesempatan menjadi hero kerana dia bukan lagi 'bintang'. 

"Padahal dahulu dia yang paksa penduduk terima tawaran RM850 untuk satu kaki persegi," katanya merujuk kepada kenyataan akhbar yang dibuat Khalid bersama penduduk berhubung notis pengusiran itu.