- Iklan -
Berita

Disiasat selepas serah memo di Parlimen, Suaram ingatkan PM juga berhimpun di jalanan

Suara Rakyat Malaysia berkata ia adalah kali pertama aktivis dipanggil polis untuk disiasat di bawah kerajaan baru selepas berhimpun di Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada menteri dalam negeri.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Selain, Penyelaras Suaram Wong Yan Ke (kiri), Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan; Penyelaras Suaram Nik Azura Nik Nasron, Timbalan Presiden Pemuda MIC Kuala Lumpur, Andrew David disiasat di ibu pejabat Polis Dang Wangi hari ini.
Selain, Penyelaras Suaram Wong Yan Ke (kiri), Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan; Penyelaras Suaram Nik Azura Nik Nasron, Timbalan Presiden Pemuda MIC Kuala Lumpur, Andrew David disiasat di ibu pejabat Polis Dang Wangi hari ini.

Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Wong Yan Ke hari ini menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan diterajui Pakatan Harapan supaya tidak lupa sejarah mereka yang terlibat dalam beberapa siri himpunan jalanan, menyifatkan siasatan di bawah Akta Perhimpunan Awam 2012 terhadap aktivis yang menyerahkan memo kepada menteri baru-baru ini “merugikan masa” dan “merugikan dana kerajaan".

Bercakap kepada media di hadapan ibu pejabat Polis Dang Wangi, Wong berkata, sekumpulan enam aktivis itu hanya berhimpun secara aman di hadapan Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution pada 20 Disember lalu. 

Katanya, penyerahan memorandum itu adalah bagi merayu pembebasan tahanan Sosma yang mana ia diserahkan kepada Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau dan Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo oleh keluarga tahanan bersama Suaram.

“Ini kali pertama selepas kerajaan baru ditubuhkan, kita dipanggil beri keterangan.

“Kita nak tegaskan bahawa kerajan terutama perdana menteri, beliau telah ikut serta banyak himpunan jalanan. Jangan lupa sejarah beliau, sejarah reformasi,” kata Wong.

Selain Yan Ke, lima lagi individu yang dipanggil untuk soal siasat ialah Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy; Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan; Penyelaras Suaram Nik Azura Nik Nasron; Timbalan Presiden Pemuda MIC Kuala Lumpur, Andrew David dan Ranjith Kumar yang merupakan ahli keluarga salah seorang tahanan Sosma.

Sementara itu, Sevan berkata, tindakan pihak polis memanggil enam aktivis tersebut termasuk dirinya hanya akan membuang masa dan merugikan dana kerajaan memandangkan penyerahan memorandum itu dilakukan secara aman.

Malah, katanya, penyerahan itu turut disaksikan ramai anggota polis yang berada di lokasi yang juga boleh mengesahkan bahawa tiada insiden kekecohan berlaku.

“Malah ramai kakitangan polis ada di sana rakam semua kejadian. Jadi sudah ada rakaman polis sebagai rekod.

“Boleh rujuk sahaja rakaman itu. Itu sudah cukup, kenapa nak panggil kami lagi untuk menyiasat dan membuang masa kita,” kata beliau sebelum memasuki perkarangan balai polis itu.

Pada masa sama, Arutchelvan turut mempersoalkan sekiranya pihak polis juga akan memanggil individu mewakili menteri yang menerima memorandum tersebut.

“Menteri KDN hantar eakil untuk sambut terima memorandum kita. Adakah Menteri KDN bersubahat dengan penyerahan memorandum kita ini?” soal beliau.