- Iklan -
Berita

‘Perbetul negara dulu’, menteri dikecam selepas komen isu Taliban

Pengguna media sosial menggesa Fadhlina Sidek menumpukan perhatian untuk menyelesaikan masalah Malaysia sebelum mengulas isu di negara lain.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada sidang media pertamanya di kementerian.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada sidang media pertamanya di kementerian.

Pengguna media sosial menyelar kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang mendesak pemerintahan Taliban di Afghanistan supaya membuka akses pendidikan kepada seluruh penduduk wanita negara itu dengan mengatakan pemimpin itu perlu rasional dalam mengulas isu tersebut. 

Fadhlina juga turut diberitahu supaya tidak menggunakan hujah tersebut sebagai alasan untuk peduli dasar luar sesebuah negara sehingga terlupa kepada kelemahan sektor pendidikan di Malaysia. 

Ini susulan arahan Kementerian Pendidikan Afghanistan beberapa hari lalu yang menggantung kemasukan pelajar wanita ke universiti awam dan swasta secara serta merta selepas diputuskan oleh kabinet negara tersebut. 

Sebagai reaksi, Fadhlina berkata sekatan yang dikenakan terhadap golongan tersebut hanya akan melebar luaskan jurang daya saing selain menjejaskan status ekonomi dan sosial. 

Bagaimanapun, rata-rata pengguna media sosial pula menggesa Fadhlina supaya berpijak di bumi yang nyata. 

Mereka berkata, kenyataan Fadhlina berbunyi bercita-cita tinggi kerana masalah berbangkit dalam isu pendidikan negara masih belum menemui penyelesaiannya. 

"Tak payah buat sibuk kepada negara lain. 

“Perbetul dalam negara kita sudah cukup YB. Nampak semacam tak ada buah fikiran yang bernas," tulis Ghazali Mukhtar di ruangan komen Facebook sebuah portal berita tempatan. 

"Jauhnya sampai Taliban," tulis pengguna Facebook, Mohd Fauzi Mohd Shariff. 

Malah, ada juga yang mempersenda kebolehan Fadhlina sebagai menteri pendidikan. 

"Tak payah sibuk hal negara orang. Hal kementerian sendiri pun banyak yang tak selesai. 

"Usah berselindung dari kehebatan almarhum ayahanda puan. Tolong buktikan kekuatan sendiri. 

"Dipilih jadi menteri pun sebab jawatan kanan parti," tulis Yuzaidi Yussof. 

Fadhlina merupakan anak kepada Siddiq Fadzil yang merupakan bekas pemimpin tertinggi Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Terdapat juga pengguna media sosial yang meminta Fadlina menumpukan terhadap pendidikan golongan wanita di Malaysia.

"Anda sibuk pasal Taliban, anda tahu ke berapa ramai pelajar perempuan di Malaysia tak dapat melanjutkan pelajaran kerana kos yang tinggi dan masih ramai perempuan yang buta huruf?" tulis Danny Iskandar. 

Sementara itu, terdapat juga komen-komen pengguna media sosial yang dikesan menggesa menteri itu menyelesaikan jurang perkauman yang semakin meruncing disebabkan dasar pendidikan yang membenarkan sekolah berasaskan kaum. 

"Belum masanya untuk cerita pasal negara lain. 

“Cerita dulu bab negara kita pasal sekolah vernakular, sekolah tahfiz dan isu budak-budak tak minat pergi sekolah," kata Nur Muhammad. 

"Nak hapus sekolah vernakular pun tak berani. 

“Isu iktiraf UEC pun diam. Kelakar," tulis Fiq Wisdom. 

Selain itu, ramai juga yang mempersoal sama ada kenyataan Fadhlina itu akan dibaca oleh para pemimpin kerajaan Taliban di Afghanistan. 

"Jauhnya sembang. Taliban baca ke berita ni?" kata Ismail Mohd. 

"Wowwww. Dia sudah mendesak guys. Harapnya Taliban dengar dan akur," tulis Ramzuk Hanif. 

Fadhlina dinamakan sebagai menteri kanan pendidikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2 Disember lalu. 

Timbalannya Lim Hui Ying pula merupakan bekas senator Pulau Pinang selain anak kepada pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.