- Iklan -
Berita

Usul undi percaya tak perlu, pelantikan PM disahkan Agong, kata Shahidan

Beliau turut menggesa semua ahli Parlimen "menutup buku" berhubung lantikan PM kerana tidak mahu ada yang mempertikaikan keputusan Agong.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim melambaikan tangan kepada petugas media di bangunan Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim melambaikan tangan kepada petugas media di bangunan Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim hari ini menyarankan supaya semua wakil rakyat sama ada di blok kerajaan mahu pun pembangkang supaya "menutup buku" berhubung pelantikan perdana menteri, mengatakan mereka yang mempertikaikan keputusan itu adalah perbuatan yang menderhaka kepada Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Bekas pemimpin Umno itu berkata, sebarang usaha untuk mempertikaikan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri termasuk membantah secara mengundi di Dewan Rakyat juga boleh dianggap sebagai menentang keputusan tersebut.

Justeru, beliau menjelaskan bahawa usul undi percaya di Parlimen sebenarnya tidak perlu diteruskan.

"Paling penting di sini ialah Agong sudah sahkan PM, kenapa kita nak sahkan sekali lagi di sini?

"Saya akan minta kawan-kawan Perikatan Nasional kalau boleh kita tak mahu campur, biar dia undi sama dia," kata Shahidan ketika membahaskan usul undi percaya perdana menteri di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usul undi percaya yang dilakukan pada 1976 dan dan 2003 ketika pentadbiran Hussein Onn dan Abdullah Ahmad Badawi dilakukan ketika pertengahan penggal dan bukannya sebaik tamat pilihan raya.

Malahan, katanya, usul untuk menunjukkan jumlah undi terhadap PM hanya akan mendorong kepada insiden "mengungkit" insiden lantikan jawatan tertinggi yang dikaitkan dengan perbuatan mempertikai keputusan Agong.

"Niatnya nak tunjukkan jumlah undi, jadi saya terpaksa ungkit ada insiden yang kami terkilan tetapi kami tidak mahu persoalkan.

"Contohnya pada 21 November jam 1.28 petang Pagoh (Muhyiddin Yassin) telah hantar SD kepada Agong dan diterima pegawai Istana kemudian pada jam 1.30 diumumkan bahawa 'tender' dibuka semula," kata Shahidan yang turut menegaskan bahawa beliau reda dengan keputusan tersebut.

Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November lalu telah mencetuskan kemelut politik di mana tiada gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Ia menyebabkan Agong terpaksa meneliti sokongan yang diperolehi calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) Anwar dan PN, Muhyidin yang masing-masing mendakwa telah mempunyai sokongan majoriti.

Bagaimanapun, pada 24 November Anwar dinamakan sebagai perdana menteri menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar parti dan gabungan politik mempertimbangkan penubuhan kerajaan bagi mengakhiri kemelut pembentukan kerajaan pasca PRU15. 

Akhirnya hasil rundingan antara parti bersetuju dan menyokong pembentukan kerajaan yang diterajui PH.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.